
Kota Kinabalu: Mahkamah Khas Rasuah menetapkan 5 Disember depan bagi pengurusan kes pra-bicara lanjut (PTCM) terhadap dua penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) masing-masing didakwa menerima dan memberi rasuah berjumlah keseluruhan RM350,000 berhubung permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga menetapkan tarikh tersebut terhadap Adun Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob dan Adun Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy apabila kes mereka disebut semula pada Selasa.
Dalam prosiding itu Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan masih belum menerima cakera padat (CD) bukti daripada Jabatan Forensik yang merupakan satu-satunya dokumen belum diserahkan kepada peguam bela.
“Pada prosiding terdahulu kami telah memaklumkan bahawa hanya CD tersebut yang masih belum diserahkan kepada peguam. Namun sehingga kini kami belum menerimanya daripada pihak Forensik. Oleh itu kami memohon tempoh sebulan bagi menyerahkan CD itu kepada pihak pembelaan,” katanya.
Rustam turut memaklumkan bahawa dalam kes Andi pihaknya baru dimaklumkan terdapat beberapa dokumen lain yang juga belum diserahkan kepada peguam bela.
“Bagi tujuan itu pihak pendakwaan memerlukan satu lagi sesi PTCM bagi meneliti semula dokumen-dokumen berkenaan selain CD yang akan diserahkan,” katanya.
Peguam Rizwandean M Borhan memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan tidak membantah penetapan tarikh baharu namun memohon agar ia ditetapkan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah memandangkan kedua-dua anak guamnya akan terlibat dalam proses pilihan raya tersebut.
Yusof, 69, yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad didakwa menerima suapan RM200,000 daripada seorang individu bernama Tei sebagai dorongan untuk membantu memudahkan permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa berlaku kira-kira jam 2 petang di sebuah hotel pada 6 Mac 2023.
Andi, 44, yang juga seorang Timbalan Menteri Negeri dan Ahli Parlimen Kalabakan didakwa menerima suapan RM150,000 daripada individu sama bagi tujuan serupa.
Kesalahan itu didakwa berlaku di kediamannya sekitar jam 11 malam pada 12 Mei 2023.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Yusof dan Andi diwakili peguam Rizwandean bersama Datuk Ram Singh dan Shahlan Jufri.
Kedua-dua Adun itu sebelum ini dilepaskan dengan jaminan dan dalam prosiding terdahulu mahkamah membenarkan mereka mendapatkan semula pasport masing-masing bagi urusan perjalanan ke luar negara selama empat bulan.
