Jeffrey nafi dakwaan rasuah RM1.78 juta

LocalPolitics
26 Sep 2025 • 8:15 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Jeffrey Kitingan menafikan dakwaan ahli perniagaan Albert Tei bahawa beliau menerima rasuah RM1.78 juta berkaitan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) itu berkata beliau tidak dapat mengingat dengan jelas perbualan bersama Tei mengenai sejumlah wang seperti yang didakwa dalam satu rakaman klip video yang tular.

Menurutnya, jika ada sekalipun, perbualan itu berkaitan sumbangan politik “beberapa tahun lalu sebelum pilihan raya” dan tidak ada kena-mengena dengan skandal perlombongan yang mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini.

“Saya benar-benar tidak ingat perbualan ini. Saya terkejut perbualan peribadi ini dirakam secara rahsia dan kini dipaparkan seolah-olah ia ada kaitan dengan skandal perlombongan.

“Video itu mengenai sumbangan politik bertahun lalu sebelum pilihan raya, tanpa sebarang bukti penerimaan, dan langsung tiada kaitan dengan skandal perlombongan terdahulu. Ia satu perangkap untuk mengaitkan kami dengan isu tersebut, sedangkan saya atau YB Star tidak terbabit,” katanya.

Jeffrey menegaskan beliau seorang penyokong pemuliharaan dan kepimpinan Star tidak pernah memohon lesen perlombongan, sama ada secara peribadi atau atas nama parti.

Pada Khamis, Tei mengeluarkan rakaman perbualan bersama Jeffrey, mendakwa beliau menerima “bayaran paling besar dalam skandal perlombongan Sabah.”Tei mendakwa jumlah yang diberi kepada Ahli Parlimen Keningau itu ialah RM1.78 juta, lebih tinggi daripada RM1.6 juta yang disebut dalam klip berkenaan.

Pertemuan tersebut didakwa berlaku di sebuah restoran makanan laut di Kuala Lumpur pada 13 Okt 2024, berkisar mengenai pembatalan lesen penerokaan mineral oleh Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Menteri sebelum ini menyatakan rasa marah terhadap Sabah Mining Corporation (SMC) kerana didakwa menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan syarikat-syarikat berkaitan Tei meneruskan perlombongan mineral sedangkan kebenaran hanya untuk penerokaan.

SMC kemudian membuat laporan polis, mendakwa minit mesyuarat Lembaga Pengarahnya dipalsukan oleh beberapa pegawai kanan yang kini telah digugurkan.

Namun, atas sebab-sebab yang tidak diketahui, suspek-suspek tersebut masih belum mendapat kebenaran Peguam Negara untuk didakwa di mahkamah.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Aksyah Nasrah berkata ahli perniagaan Albert Tei dilihat bercanggah dalam dakwaan terbarunya berhubung isu rasuah lesen penerokaan mineral.

“Dalam perbicaraan mahkamah pertama, dia mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memberi rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kalau benar dia tidak memberi, maka wang yang disebut itu ialah sumbangan politik, bukannya rasuah. Bagaimana boleh dianggap rasuah jika ada ‘penerima’ tetapi tiada ‘pemberi’?” soalnya.

Mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, katanya, sesuatu kesalahan hanya dianggap rasuah apabila wujud kedua-dua pihak iaitu pemberi dan penerima.

Aksyah turut menegaskan semua individu yang dituduh oleh Albert tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam Sabah Mining Corporation (SMC) yang mengeluarkan lesen penerokaan.

“Lebih-lebih lagi, setiap kali muncul di media, dia turut mengaitkan nama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Ini jelas menunjukkan dendamnya terhadap Hajiji yang telah menyekat cubaannya untuk mengaut hasil bumi Sabah,” katanya.