5 Ditahan Disyaki Bunuh Penghuni Pusat Jagaan

6 Aug 2026 • 5:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

5 Ditahan Disyaki Bunuh Penghuni Pusat Jagaan

KUALA LUMPUR - Polis mengklasifikasikan kematian seorang lelaki berusia 54 tahun di sebuah pusat jagaan di Tanjung Rambutan, Perak sebagai kes bunuh, selepas keputusan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pakar forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati, mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala yang berpunca daripada trauma objek tumpul.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada malam 3 Ogos apabila mangsa, yang merupakan penghuni pusat jagaan berkenaan, didakwa bertindak agresif sehingga mengganggu penghuni lain.

“Siasatan mendapati seorang penjaga dipercayai mengarahkan mangsa diikat sebelum beberapa penghuni bersama penjaga tersebut bertindak memukul serta memijak mangsa.

“Susulan itu, lima individu telah ditahan, termasuk penjaga pusat jagaan berkenaan dan beberapa penghuni yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu,” katanya.

Mohd Alwi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemakaian Lencana Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Ketua Polis Daerah Taiping serta Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Taiping dan Pengerusi PERKEP Daerah di Ipoh, hari ini.

Jelas beliau, siasatan lanjut turut mendapati pusat jagaan terbabit beroperasi tanpa berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mangsa merupakan seorang daripada 21 penghuni yang menetap di pusat jagaan tersebut.

Kesemua lima suspek direman selama empat hari, bermula semalam hingga 8 Ogos bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Getaran, 6 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved