
IPOH – Polis mengesahkan punca kematian seorang lelaki yang merupakan penghuni sebuah pusat jagaan swasta di sini pada Selasa lalu kerana kecederaan trauma di bahagian kepala.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin, berdasarkan siasatan awal pada Selasa lalu, pada pukul 5.41 petang, Balai Polis Tanjung Rambutan telah menerima maklumat berhubung kematian seorang lelaki di sebuah pusat jagaan di Tanjung Rambutan.
“Mangsa adalah seorang lelaki tempatan berumur 54 tahun yang merupakan salah seorang daripada 21 orang penghuni di pusat jagaan tersebut.
“Kejadian dipercayai berlaku pada malam 3 Ogos apabila mangsa dikatakan berkelakuan agresif dan mengganggu penghuni lain,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.
Mohd. Alwi berkata sedemikian selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (KJSJK) Perak, Ketua Polis Daerah Taiping dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah.
Katanya, seorang penjaga dipercayai telah mengarahkan mangsa diikat sebelum beberapa penghuni lain bersama penjaga tersebut bertindak memukul serta memijak mangsa.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar perubatan forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan punca kematian mangsa ialah kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Kematian seorang penghuni pusat jagaan kerana kecederaan kepala appeared first on Kosmo Digital.






