Polis sahkan kematian seorang penghuni pusat jagaan

6 Aug 2026 • 2:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis sahkan kematian seorang penghuni pusat jagaan

IPOH: Polis mengesahkan punca kematian seorang lelaki yang merupakan penghuni sebuah pusat jagaan swasta di sini pada Selasa lalu kerana kecederaan trauma di bahagian kepala.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, berdasarkan siasatan awal pada Selasa lalu, pada pukul 5.41 petang, Balai Polis Tanjung Rambutan telah menerima maklumat berhubung kematian seorang lelaki di sebuah pusat jagaan di Tanjung Rambutan.

“Mangsa adalah seorang lelaki tempatan berumur 54 tahun yang merupakan salah seorang daripada 21 orang penghuni di pusat jagaan tersebut.

“Kejadian dipercayai berlaku pada malam 3 Ogos apabila mangsa dikatakan berkelakuan agresif dan mengganggu penghuni lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (KJSJK) Perak, Ketua Polis Daerah Taiping dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah.

Katanya, seorang penjaga dipercayai telah mengarahkan mangsa diikat sebelum beberapa penghuni lain bersama penjaga tersebut bertindak memukul serta memijak mangsa.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pakar perubatan forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan punca kematian mangsa ialah kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala.

“Polis telah menahan lima lelaki tempatan terdiri daripada empat penghuni dan seorang penjaga berumur dalam lingkungan 35 hingga 55 tahun. Kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula semalam sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Jelasnya, semakan awal mendapati pusat jagaan tersebut telah beroperasi sejak tahun 2012 dan hanya mempunyai pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Setakat ini, tiada dokumen dikemukakan yang menunjukkan premis berkenaan mempunyai pendaftaran atau lesen pengoperasian yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mahupun surat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Premis ini juga didapati tidak dilengkapi dengan televisyen litar tertutup (CCTV). Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang lain terhadap pengusaha atau pengurusan pusat jagaan ini, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Asisten Komisioner Polis, Mohd. Ridzuan Nor Ihsan dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak yang baharu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Superintenden Mohd. Ariffridzuan Ezahar pula menyerahkan tugas kepada Asisten Komisioner Polis, S. Saravanan yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda.-UTUSAN

The post Polis sahkan kematian seorang penghuni pusat jagaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved