5 negara Teluk marah Trump perang Iran belum tamat

WorldPolitics
17 Aug 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 5 negara Teluk marah Trump perang Iran belum tamat

RIYADH: Kemarah­an terhadap Amerika Syarikat (AS) semakin memuncak di lima buah negara Teluk dengan Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Kuwait dan Bahrain kini mula mempersoalkan sama ada Washington masih boleh dipercayai untuk menjamin keselamatan rantau itu.

Menurut media AS, rasa tidak puas hati terhadap Amerika me­ningkat dalam kalangan sekutu negara itu di Teluk selepas Presi­den Donald Trump gagal mencapai penyelesaian diplomatik bagi menamatkan perang  dengan Iran yang sudah berlanjutan lebih lima bulan .

Tiga pegawai dan seorang bekas diplomat AS mengesahkan kemarahan lima negara Teluk itu  kepada The Washington Post. 

“Trump memulakan perang ini dan kami yang menanggung akibatnya,” kata seorang pegawai negara Teluk kepada The Washington Post dan menyifatkan kemarahan terhadap AS kini berada pada tahap tertinggi sejak Washington dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari.

Selepas berbulan-bulan kon­flik dan serangan peluru berpandu termasuk  dron berterusan dari Iran serta kumpulan yang disokongnya, Arab Saudi, UAE, Qatar, Kuwait dan Bahrain semakin lantang mengkritik pentadbiran Trump, lapor akhbar itu dengan memetik pegawai Arab dan Barat.

Menurut laporan berkenaan, beberapa negara Teluk juga mula mempersoalkan manfaat meneruskan kehadiran pangkalan tentera AS yang besar di negara mereka.

Bagaimanapun, seorang diplomat Barat di rantau itu memberi amaran perkembangan tersebut belum menunjukkan perubahan besar dalam sentimen terhadap AS. 

Katanya, kehadiran tentera AS sebenarnya tidak pernah di­terima dengan penuh ‘sema­ngat’ walaupun sebelum perang dengan Iran.

“Ia lebih kepada sesuatu yang dianggap sebagai keburukan yang terpaksa diterima. Kini, keperluannya mula dipersoalkan,” katanya.

Kebimbangan itu timbul ketika Trump berulang kali mengancam untuk mengambil tindakan lanjut terhadap Iran sebelum menarik balik ancaman tersebut dengan alasan terdapat kemajuan dalam rundi­ngan diplomatik. 

Namun, Washington dan Teheran masih belum mencapai persetujuan muktamad untuk menamatkan konflik.

Seorang pegawai Rumah Putih menolak penilaian itu  de­ngan  mendakwa Trump mempunyai hubungan yang luar biasa dengan semua rakan kongsi AS di Teluk manakala Washington terus berhubung secara berkala dengan sekutu serantaunya sejak konflik bermula.

Penganalisis Kumpulan Eurasia, Firas Maksad berkata, dasar Trump terhadap Iran dilihat secara meluas di rantau itu sebagai tidak menentu dan sukar dijangka. 

Pakar dari Institut Negara-Negara Teluk Arab, Anna Jacobs pula berkata, kepercayaan terhadap AS semakin terhakis sejak perang bermula, dengan negara-negara sekutu merasakan tindakan Washington di rantau itu menjadikan mereka semakin tidak selamat, bukan sebaliknya.

Arab Saudi berdepan tekanan paling hebat. Selain serangan langsung Iran, kerajaan itu turut menjadi sasaran pejuang Houthi yang disokong Iran di Yemen, Kumpulan itu berulang kali menyerang kemudahan tenaga Arab Saudi dan cuba menyekat Selat Bab al-Mandab berhampiran Laut Merah.

Selepas Selat Hormuz ditutup sejak awal perang, Arab Saudi terpaksa mengubah laluan eksport minyaknya melalui pelabuhan di Laut Merah.

Ahli Sejarah Universiti Kuwait, Bader Al-Saif turut mengkritik memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani AS dan Iran pada Jun. Ini  kerana ia  tidak mengambil kira kebimbangan utama negara-negara Teluk, khususnya program peluru berpandu Iran dan soko­ngannya terhadap kumpulan bersenjata yang menjadi proksi Teheran.

Katanya, syarat dalam perjanjian itu tidak memenuhi kepen­tingan rantau Asia Barat, menyebabkan ia runtuh dalam tempoh singkat.

 

The post 5 negara Teluk marah Trump perang Iran belum tamat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved