Ringgit kekal berdaya tahan pada suku kedua 2026

Business & Finance
14 Aug 2026 • 2:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ringgit kekal berdaya tahan pada suku kedua 2026

KUALA LUMPUR: Ringgit kekal stabil secara amnya berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia pada suku kedua 2026, meskipun berdepan keadaan kewangan global yang terus berubah, khususnya susulan perubahan jangkaan pasaran terhadap hala tuju dasar monetari Amerika Syarikat (AS).

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit susut 0.8 peratus pada suku kedua 2026, berbanding peningkatan 1.4 peratus pada suku pertama.

“Ringgit terus disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh serta momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif.

“Bagi tempoh dari awal tahun hingga 12 Ogos 2026, ringgit mencatatkan prestasi yang secara amnya stabil berbanding dolar AS dengan penyusutan 0.9 peratus, manakala NEER susut satu peratus berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia yang lain,” katanya.

Beliau ber pada sidang akhbar prestasi ekonomi suku kedua 2026 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) di sini hari ini.

Menurut beliau, walaupun faktor luaran akan terus mempengaruhi pergerakan kadar pertukaran, prospek ekonomi Malaysia yang positif serta pelaksanaan pembaharuan struktur secara berterusan dijangka terus menyokong ringgit.

“BNM akan terus memantau rapi perkembangan global dan kekal komited dalam memastikan pasaran pertukaran asing domestik terus berfungsi secara teratur,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rasheed berkata, pembiayaan kekal tersedia bagi menyokong kegiatan ekonomi dan keperluan perniagaan.

“Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 6.4 peratus pada suku kedua tahun 2026 berbanding 5.6 peratus.

“Bon korporat terkumpul meningkat kepada 8.1 peratus berbanding 5.9 peratus pada suku pertama 2026 mencerminkan terbitan bon yang lebih tinggi, terutamanya dalam sektor utiliti dan bagi tujuan modal kerja.

“Selain itu, pinjaman perniagaan terkumpul berkembang sebanyak 7.2 peratus berbanding 5.7 peratus pada suku pertama 2026, didorong oleh pinjaman bagi tujuan modal kerja dan berkaitan pelaburan,” katanya.

Mengikut segmen, pertumbuhan tersebut didorong oleh pinjaman dalam kalangan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sementara itu, pinjaman dalam kalangan PKS berkembang sebanyak 4.2 peratus berbanding 5.2 peratus pada suku pertama 2026 berikutan permintaan pinjaman yang mampan bagi tujuan modal kerja.

“Bagi isi rumah, pinjaman berkembang sebanyak 5.3 peratus berbanding 5.4 peratus suku pertama, disokong oleh pertumbuhan pinjaman pembelian rumah yang stabil,” katanya. – UTUSAN

The post Ringgit kekal berdaya tahan pada suku kedua 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved