5 Produk Lain Syarikat Tesla Selain Kereta Elektrik (EV)

TechnologyFamily & Parenting
26 Feb 2026 • 10:55 PM MYT
eCentral
eCentral

Portal rujukan nombor #1 Malaysia. Kini lebih 30 juta capaian sebulan!

Ramai daripada kita hanya mengetahui syarikat Tesla sebagai pengeluar kereta elektrik (EV), namun sebenarnya syarikat ini juga turut menghasilkan beberapa produk lain yang mungkin jarang kita dengari.

Produk lain Tesla selain kereta elektrik semakin mendapat perhatian kerana syarikat ini bukan sahaja terkenal dengan inovasi dalam industri automotif, tetapi juga dalam pelbagai bidang teknologi dan gaya hidup.

Inovasi Tesla menjangkau jauh melampaui batasan industri automotif dan dengan teknologi hijau dan reka bentuk estetik, syarikat ini terus menunjukkan komitmennya terhadap masa depan tenaga yang bersih dan cekap.

1. Permainan Kanak-Kanak Tesla

image is not available

Tesla tidak hanya menumpukan perhatian kepada orang dewasa, malah mereka turut menghasilkan produk untuk kanak-kanak dan antara produk lain Tesla yang popular ialah Tesla Toys, termasuk My First Model Y dan Tesla Model S for Kids.

Produk ini direka menyerupai kereta Tesla sebenar, tetapi dalam bentuk miniatur yang sesuai untuk kanak-kanak.

Model S for Kids menggunakan tenaga elektrik dan boleh disesuaikan mengikut spesifikasi seperti kapasiti bateri, warna, serta rim.

Walaupun harganya agak tinggi, ia menjadi pilihan ibu bapa yang mahu memperkenalkan anak-anak kepada teknologi hijau sejak kecil.

2. Cyberquad for Kids

image is not available

Tesla turut melancarkan “Cyberquad for Kids” dan produk ini mendapat inspirasi reka bentuk secara langsung daripada konsep trak pikap futuristik syarikat, Cybertruck yang terkenal.

Cyberquad for Kids adalah sebuah kenderaan empat roda (ATV) elektrik yang direka untuk pengembaraan kecil.

Dengan kelajuan maksimum sekitar 16 kilometer sejam dan jarak perjalanan sehingga 24 kilometer dengan sekali cas, ia cukup sesuai untuk kanak-kanak berusia lapan tahun ke atas meneroka kawasan sekitar.

Dari segi keselamatan, Tesla tidak berkompromi; kenderaan ini dilengkapi dengan brek cakera, lampu depan LED, dan tayar lasak berukuran 16 inci.

Rangkanya juga sangat kukuh, mampu menampung berat sehingga 150 kilogram, sekali gus membuktikan bahawa produk ini dibina dengan standard ketahanan yang tinggi sama seperti kenderaan dewasa mereka.

Produk ini masih boleh didapati di laman web rasmi Tesla.

3. Powerbank telefon

image is not available

Memandangkan Tesla adalah pakar dalam teknologi bateri dan pengecasan, tidak hairanlah mereka mengaplikasikan kepakaran ini kepada aksesori harian seperti pengecas telefon.

Dua produk menarik dalam kategori ini ialah “Tesla Desktop Superchargers” dan “Tesla Powerbank”.

Desktop Superchargers adalah replika skala 1:1 stesen pengecas Supercharger Tesla yang ikonik.

Selain berfungsi sebagai pengecas wayarles untuk telefon pintar, rekaannya yang unik menjadikannya barang koleksi dan hiasan meja yang menarik untuk peminat jenama tersebut.

Sementara itu, Tesla Powerbank pula menawarkan kebolehan pengecasan mudah alih dan walaupun kapasitinya agak sederhana iaitu 3350mAh, daya tarikan utamanya terletak pada dakwaannya bahawa ia menggunakan sel bateri yang sama dengan yang dipasang pada kereta Tesla.

Ini memberikan pengguna rasa memiliki sekeping kecil teknologi canggih dari kereta impian mereka.

4. Tesla Powerwall

image is not available

Melangkah keluar dari kategori kenderaan dan aksesori, Tesla Powerwall adalah salah satu produk lain Tesla yang paling signifikan dalam misi mereka untuk mempercepatkan peralihan dunia kepada tenaga mampan.

Powerwall pada asasnya adalah sistem bateri boleh dicas semula yang menggunakan sel litium-ion untuk menyimpan tenaga elektrik di rumah.

Sistem ini direka untuk disambungkan kepada grid elektrik rumah dan boleh diintegrasikan dengan panel solar.

Fungsi utamanya adalah sebagai storan kuasa sandaran yang mana apabila bekalan elektrik daripada grid terputus, Powerwall akan mengaktifkan secara automatik dalam membekalkan kuasa kepada rumah tanpa sebarang gangguan.

Di kawasan yang mempunyai kadar elektrik mengikut waktu (time-of-use), Powerwall boleh dicas ketika kadar elektrik murah dan membekalkan kuasa ketika kadar mahal, menjimatkan kos pengguna.

5. Bumbung Solar Tesla

image is not available

Jika panel solar tradisional sering dikritik kerana rekaannya yang kurang menarik dan “mencacatkan” pemandangan sesebuah rumah, Tesla Solar Roof hadir sebagai penyelesaian revolusioner.

Produk lain Tesla ini bukan sekadar panel solar yang dipasang di atas bumbung sedia ada, tetapi ia adalah bumbung itu sendiri.

Tesla mereka bentuk jubin bumbung (roofing tiles) yang mempunyai rupa dan bentuk yang menyerupai genting atau batu tulis biasa, namun di dalamnya terselit sel suria yang cekap.

Pendekatan ini membolehkan pemilik rumah menjana tenaga elektrik dari matahari tanpa perlu mengorbankan estetika seni bina rumah mereka.

Bumbung kelihatan elegan dan anggun dari pandangan mata kasar, sama seperti bumbung mewah biasa, tetapi ia berfungsi sebagai penjana kuasa.

Namun, inovasi ini hadir dengan tanda harga yang sangat premium kerana kos pemasangan Tesla Solar Roof dianggarkan bermula daripada sekitar RM230,000, bergantung kepada saiz dan kerumitan bumbung, menjadikannya satu pelaburan jangka panjang yang besar.

Artikel berkaitan: Tesla Cybercabs : Konsep RoboTeksi Pandu Sendiri