Jika Taiwan dilihat sebagai negara pengeluar cip semikonduktor yang paling penting di dunia sekarang, Malaysia tidak ketinggalan di belakang kerana sejumlah besar syarikat pereka cip semikonduktor global seperti AMD, Intel, Micron dan sebagainya menggunakan khidmat negara kita sebagai hab pempakejan cip pemprosesan, memori dan storan pada skala global.
Tidak kurang juga sejumlah syarikat-syarikat tempatan sendiri yang juga mempunyai kepakaran sedemikian yang mempunyai klien-klien global yang menggunakan khidmat mereka untuk mempakejkan cip semikonduktor mereka untuk pasaran antarabangsa. Malah, industri tersebut dilihat cukup besar dimana kita mempunyai konsortium yang bernama Malaysia Advanced Packaging Consortium (MAPC).
Untuk membantu mengembangkan lagi industri ini dan menambahkan jumlah pekerja profesional dalam industri tersebut, kerajaan telah memberi geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) bernilai RM92 juta dibawah program Malaysia Science Endowment (MSE) dan MoU yang telah ditandantangani bersama-sama lima syarikat pempakejan semikonduktor tempatan.

Syarikat-syarikat tersebut adalah SkyeChip Bhd, Inari Technology Sdn Bhd, FusionAP Sdn Bhd, Pentamaster Instrumentation Sdn Bhd dan NSW Automation Sdn Bhd. Geran yang diberi oleh pihak kerajaan juga telah dipadankan oleh industri pempakejan tempatan dengan geran mereka sendiri yang bernilai RM93.8 juta, menjadikan nilai keseluruhan bernilai kira-kira RM185.8 juta.
Selain daripada penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu, geran ini juga akan dimanfaatkan untuk menjalankan program 24 bulan sebagai platform untuk meningkatkan daya saing pekerja dan mendedahkan mereka kepada teknologi-teknologi terbaru yang diperlukan didalam industri ini.
Memorandum persefahaman ini ditandatangani sewaktu acara SEMICON SEA 2026 yang berlangsung pada minggu lepas, dan memperlihatkan kepercayaan kerajaan dalam perkembangan industri ini sebagai salah satu tunggak ekonomi negara.
Malah, dengan inisiatif ini, kerajaan menjangkakan bahawa kelima-lima syarikat ini akan dapat menguasai tujuh peratus daripada sektor pempakejan cip semikonduktor global menjelang tahun 2035.
Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengatakan bahawa pengalaman 50 tahun Malaysia dalam industri pembangunan dan pempakejan cip semikonduktor, bersama-sama dengan pegangan politikal neutral diantara China dan Taiwan menjadikan Malaysia negara yang sesuai untuk pelbagai syarikat pengeluar cip semikonduktor untuk menghantar komponen-komponen di sini untuk dipasangkan.





