
Kota Kinabalu: Tamu Besar Kota Belud 2026 akan berlangsung bermula 10 hingga 18 Oktober depan, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata antara kelainan penganjuran tahun ini ialah pelaksanaan Tamu Geopark Kinabalu bagi menonjolkan keistimewaan Gunung Kinabalu yang sebahagiannya terletak di daerah itu.
“Kali ini kita bekerjasama dengan Taman-Taman Sabah menganjurkan tamu ini supaya menonjolkan Gunung Kinabalu itu sendiri di mana ia juga akan diadakan seminggu lebih awal,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.
Ewon berkata perasmian Tamu Besar akan disempurnakan oleh TYT dan turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 17 Oktober.
“Beberapa acara utama lain akan diadakan di tapak tamu manakala pertandingan seperti lumba kerbau dan lembu berlangsung di padang atau dataran Kota Belud.
“Tamu Besar ini bukan sahaja menjadi platform keusahawanan untuk aktiviti jual beli malah diserikan dengan pelbagai pengisian kebudayaan daripada pelbagai etnik seperti Bajau, Iranun, Dusun dan lain-lain.
“Ia juga sinonim dengan nilai perpaduan serta kebersamaan rakyat Sabah yang ingin kita serlahkan.
“Justeru, kita menjemput semua rakyat dan pelancong untuk hadir menyaksikan keunikan identiti Kota Belud,” katanya, sambil menambah, beliau menjangkakan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung tahun ini.
Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, Tamu Besar turut memberi manfaat kepada ekonomi tempatan dengan menyediakan ruang kepada usahawan dan peniaga untuk memasarkan produk mereka.
Katanya, Kementeriannya turut menyalurkan peruntukan bagi menyokong penganjuran sambutan itu, sekali gus memberi peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan.
“Saya amat yakin seperti tahun-tahun sebelum ini, peniaga kecil dan usahawan tamu akan mendapat rezeki serta pendapatan yang lebih baik, terutama apabila lebih ramai pengunjung datang.
“Antara produk tempatan yang sinonim dengan Kota Belud termasuk parang, sayur-sayuran dan ikan liking yang dijangka turut menjadi tarikan sepanjang sambutan berkenaan,” tambahnya.
Hadir sama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Fairuz Renddan.





