KLK lantik Lee Jia Zhang sebagai CEO gantikan bapanya mulai 1 Oktober 2026

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 9:16 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KLK lantik Lee Jia Zhang sebagai CEO gantikan bapanya mulai 1 Oktober 2026 Image from: KLK lantik Lee Jia Zhang sebagai CEO gantikan bapanya mulai 1 Oktober 2026 liza10/09/2026 - 09:16 Lee Jia Zhang Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Sept – Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) bakal memasuki fasa peralihan kepimpinan apabila Lee Jia Zhang, 43, mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan itu daripada bapanya, Tan Sri Lee Oi Hian mulai 1 Oktober 2026.

 

Jia Zhang yang kini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) KLK akan mengisi kekosongan jawatan CEO selepas Oi Hian beralih kepada peranan Pengerusi Eksekutif Kumpulan (Group Executive Chairman) pada 2024.

 

Perubahan itu memperlihatkan kesinambungan kepimpinan dalam kumpulan berkenaan dengan Oi Hian kekal memainkan peranan penting di peringkat kumpulan selepas tidak lagi memegang jawatan CEO.

 

Selain menjadi Pengerusi Eksekutif Kumpulan KLK, Oi Hian juga adalah Pengerusi Batu Kawan Bhd iaitu pemegang saham utama KLK.

 

Keluarga Lee memiliki lebih 56% kepentingan dalam Batu Kawan yang mempunyai pegangan sebanyak 48.24% dalam KLK.

 

KLK berkata perubahan kepimpinan itu merupakan sebahagian daripada perancangan peralihan yang teratur bagi memastikan hala tuju strategik dan operasi kumpulan dapat diteruskan secara berkesinambungan.

 

Pengalaman Lebih 16 Tahun Bersama KLK

Jia Zhang bukanlah nama baharu dalam KLK kerana beliau telah bersama kumpulan itu sejak 2010 dan sepanjang tempoh tersebut diberikan tanggungjawab dalam pelbagai bahagian perniagaan.

 

Pengalamannya meliputi sektor perladangan, oleokimia, penapisan, hartanah serta urusan korporat yang  memberikannya pendedahan luas terhadap operasi kumpulan.

 

Dalam bahagian oleokimia dan korporat, beliau pernah menerajui Palm-Oleo Sdn Bhd sebagai Pengarah Urusan dari Januari 2017 hingga Disember 2018 dan kemudiannya dilantik sebagai CEO KLK OLEO pada April 2022 dan memegang jawatan berkenaan sehingga September 2024.

 

Dari sudut tadbir urus, Jia Zhang telah menyertai lembaga pengarah KLK sebagai Pengarah Eksekutif pada 16 Mei 2018, manakala pelantikannya sebagai COO berkuat kuasa pada 1 Oktober 2021.

 

Oi Hian Yakin Jia Zhang Teruskan Pertumbuhan KLK

Oi Hian berkata beliau yakin pengalaman dan keupayaan Jia Zhang membolehkannya meneruskan asas kukuh yang telah dibina KLK sejak beberapa dekad lalu.

 

Menurutnya, Jia Zhang mampu membawa kumpulan itu ke arah pertumbuhan yang kukuh dan berterusan, selain membantu merealisasikan aspirasi KLK untuk menjadi organisasi berasaskan agri yang diiktiraf di peringkat global serta menjadi peneraju dalam industri.

 

Jia Zhang pula berkata beliau akan meneruskan pencapaian yang telah dibina di bawah kepimpinan bapanya dengan memanfaatkan kekuatan asas perniagaan, bakat pekerja dan budaya korporat KLK.

 

Beliau berkata pendekatan itu akan menjadi asas kepada usaha kumpulan untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan KLK pada masa akan datang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved