
Kota Kinabalu: Perniagaan di Sabah perlu memperkukuh keupayaan dan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekonomi negeri apabila peluang pelaburan dan pembangunan baharu terus muncul, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata sumber yang luas dan potensi ekonomi Sabah perlu diterjemahkan kepada industri yang lebih kukuh, perniagaan tempatan yang berdaya saing, pekerjaan berkualiti serta peluang ekonomi yang lebih besar untuk rakyat.
Katanya, perkara itu amat penting khususnya dalam sektor utama termasuk pertanian, pelancongan, pembuatan, minyak dan gas, sumber asli, logistik, pengangkutan serta keusahawanan.
“Sabah dikurniakan sumber dan peluang yang amat besar namun kita juga perlu mengakui bahawa potensi semata-mata tidak akan mewujudkan kemakmuran sekiranya kita tidak mampu menterjemahkannya kepada industri yang lebih kukuh, perniagaan berdaya saing, pekerjaan berkualiti dan peluang ekonomi yang lebih besar untuk rakyat,” katanya.
Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, berkata antara keutamaan kementeriannya adalah memastikan lebih banyak perniagaan Sabah dapat mengambil bahagian secara bermakna dalam pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata perusahaan kecil dan sederhana perlu diperkukuh manakala usahawan dan syarikat tempatan perlu diberikan sokongan untuk berkembang serta membangunkan keupayaan dan keyakinan bagi bersaing di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.
“Ini juga selaras dengan pendekatan Sabah First (Sabah Diutamakan) kita, yang mana kita mahu perniagaan dan usahawan Sabah diberikan peluang lebih besar untuk mengambil bahagian dan mendapat manfaat daripada pembangunan negeri,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada CEO Masterclass 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, Selasa.
Ewon berkata apabila ekonomi negeri berkembang dan pelaburan baharu memasuki Sabah, perniagaan tempatan perlu bersedia menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan, membangunkan keupayaan yang diperlukan serta merebut peluang yang diwujudkan melalui pertumbuhan berkenaan.
Beliau menegaskan Sabah akan terus mengalu-alukan pelaburan berkualiti, namun kejayaannya tidak seharusnya diukur berdasarkan nilai kewangan semata-mata.
“Lebih penting, pelaburan perlu menjana limpahan ekonomi yang lebih luas dengan mewujudkan peluang perniagaan untuk syarikat tempatan, memperkukuh rantaian bekalan domestik, membangunkan bakat tempatan, memudah cara pemindahan teknologi dan pengetahuan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Sabah,” katanya.
Ewon berkata kerajaan negeri mempunyai peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan perniagaan dan pelaburan melalui dasar yang sesuai, infrastruktur, kesalinghubungan, kemudahan serta bentuk sokongan lain.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak mampu membangunkan ekonomi masa depan Sabah secara bersendirian, justeru penglibatan kukuh sektor swasta khususnya ketua pegawai eksekutif (CEO), usahawan dan pemimpin industri, amat diperlukan.
“Tanggungjawab bersama kita adalah untuk membina syarikat Sabah yang lebih kukuh, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dan peluang perniagaan untuk rakyat Sabah, membangunkan bakat tempatan serta memperkukuh keupayaan usahawan kita supaya lebih banyak perniagaan Sabah mampu bersaing di luar sempadan negeri,” katanya.
Ewon berkata kerjasama lebih erat antara kerajaan, sektor swasta, industri dan komuniti keusahawanan akan membantu membina ekonomi Sabah yang lebih kukuh, berdaya saing dan berdaya tahan.






