50 anjing mati dipercayai diracun, ganjaran RM1,000 kesan pelaku

5 Aug 2026 • 12:23 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Anjing dipercayai mati akibat keracunan di Pusat Perindustrian Sungai Chua

Kira-kira 50 ekor anjing dipercayai mati akibat termakan makanan bercampur racun di Pusat Perindustrian Sungai Chua sejak awal Julai lalu.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kwan Say Hong berkata, tindakan meracun haiwan berkenaan adalah perbuatan kejam yang tidak boleh diterima walaupun isu anjing liar sering menjadi antara aduan utama diterima pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, individu tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri dengan melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang, sebaliknya mencari penyelesaian lebih berperikemanusiaan bagi menangani masalah berkaitan haiwan liar.

“Isu anjing liar yang menimbulkan masalah keselamatan dan kebersihan awam masih merupakan antara aduan tertinggi diterima oleh MPKj dan banyak lagi PBT. Namun, tiada alasan boleh menjustifikasikan sebarang bentuk penganiayaan terhadap haiwan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, satu pertemuan telah diadakan bersama pengusaha, pekerja, wakil pertubuhan kebajikan haiwan serta pihak pengurusan syarikat kawalan keselamatan di kawasan perindustrian berkenaan bagi membincangkan insiden terbabit.

Baca juga:

Katanya, perbincangan turut melibatkan langkah kerjasama untuk mengawal populasi anjing liar, menggalakkan pemeliharaan haiwan secara bertanggungjawab serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengusaha dan pekerja.

Kwan berkata, ganjaran RM1,000 ditawarkan oleh pengusaha kepada mana-mana individu yang tampil memberikan bahan bukti seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu mengenal pasti pelaku.

Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan meracun haiwan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31 Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Beliau menegaskan tindakan kejam terhadap haiwan perlu dikecam dan penyelesaian terhadap isu berkaitan haiwan perlu dilakukan secara berhemah serta berlandaskan undang-undang.

The post 50 anjing mati dipercayai diracun, ganjaran RM1,000 kesan pelaku appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved