
KUALA LUMPUR – Insiden tanah runtuh susulan hujan lebat semalam mengakibatkan penutupan sepenuhnya laluan di Seksyen 9.90 Jalan Rawang-Kuala Selangor (B27) di Gombak.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, kejadian tanah runtuh pada 11 malam itu melibatkan kegagalan cerun atas dan bawah, sehingga sebahagian struktur jalan di seksyen terbabit runtuh.
Menurut kenyataan itu, runtuhan turut menyebabkan pokok tumbang dan menghalang keseluruhan laluan kenderaan.
“Penutupan jalan telah dilaksanakan oleh pihak JKR Daerah Gombak dan hebahan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya dihebahkan melalui Facebook JKR Selangor dan JKR Daerah Gombak, pagi ini.
“Punca kejadian dipercayai ekoran hujan lebat yang menyebabkan penyusupan air hujan yang tinggi, menjadikan tahap ketepuan tanah pada kawasan bercerun meningkat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Jelasnya, tekanan air pada liang itu menyebabkan ketidakstabilan cerun dan pergerakan tanah, sehingga sebahagian struktur jalan runtuh dan terjejas.
Bagaimanapun, JKR Selangor memaklumkan siasatan dan penilaian teknikal terperinci masih giat dijalankan, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Selain itu, Pelan Pengurusan Trafik (TMP) termasuk pemasangan papan tanda penutupan jalan sepenuhnya dan lencongan diaktifkan, manakala pemasangan sementara tarpaulin sheet pada permukaan tebing jalan serta cerun yang terjejas, dibuat bagi mengelakkan hakisan dan runtuhan susulan.
“Kerja pembersihan runtuhan tanah dan pokok tumbang dari bahagian cerun atas dilaksanakan oleh pihak konsesi jalan negeri, selain pemantauan berterusan terhadap pergerakan aktif struktur jalan dan kestabilan cerun,” menurut kenyataan itu.
Pembinaan jalan lencongan di kawasan terjejas akan dilaksanakan bagi laluan kenderaan ringan, namun ia bergantung kepada pertimbangan teknikal melibatkan faktor keselamatan serta tahap kestabilan cerun.
“Hebahan pembukaan semula jalan akan dibuat, selepas pertimbangan teknikal mendapati laluan tersebut selamat dilalui, serta penyediaan jalan lencongan yang terhad kepada kenderaan ringan sahaja disediakan,” katanya.
– BERNAMA
The post Laluan Jalan Rawang-Kuala Selangor ditutup sepenuhnya appeared first on Kosmo Online.






