50 PKS pamer transformasi digital dalam ASEAN SOAR Together sempena Sidang Kemuncak Perniagaan & Pelaburan ASEAN 2025

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2025 • 12:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

50 PKS pamer transformasi digital dalam ASEAN SOAR Together sempena Sidang Kemuncak Perniagaan & Pelaburan ASEAN 2025

image is not available

06/10/2025 - 12:07

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt – Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dengan kerjasama TikTok Shop bakal mengetengahkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) terbaik rantau ini menerusi program ASEAN SOAR (Supporting Our Artisans and Retailers) Together sempena Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2025 di Kuala Lumpur.

Inisiatif ini memberi peluang kepada 50 PKS terpilih dari kesemua 10 negara anggota ASEAN untuk mempamerkan transformasi perniagaan mereka melalui penggunaan teknologi digital dan platform e-dagang.

Pemenang cabaran perniagaan di bawah program ini akan dipamerkan di reruai khas ASEAN SOAR Together sepanjang dua hari penganjuran ABIS 2025, bagi memperlihatkan kisah kejayaan mereka kepada pemimpin serantau, penggubal dasar dan syarikat antarabangsa.

Program ini turut sejajar dengan tema Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 – “Inklusiviti dan Kelestarian”, serta menyumbang kepada pelaksanaan pelan hala tuju utama ASEAN 2025 merangkumi Komuniti Ekonomi, Komuniti Politik-Keselamatan dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN.

PKS merupakan tulang belakang ekonomi rantau ini, merangkumi antara 97% hingga 99% daripada jumlah perniagaan dan memainkan peranan penting dalam menjana pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi.

Namun, banyak PKS masih berdepan halangan dalam mengadaptasi teknologi digital, termasuk akses terhad kepada alatan digital, kekangan strategi pemasaran serta kurang pendedahan kepada pasaran antarabangsa.

Melalui ASEAN SOAR Together, para peserta akan diberi latihan praktikal dalam bidang e-dagang, jualan langsung dalam talian, pemasaran digital serta pengurusan kedai di TikTok Shop.

Mereka juga menerima bimbingan terus dan peluang rangkaian di peringkat serantau.

image is not available
Pengerusi ASEAN-BAC, Tan Sri Nazir Razak

Pengerusi ASEAN-BAC, Tan Sri Nazir Razak berkata, kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memperkasakan PKS di rantau ASEAN yang menjadi tunjang kepada pertumbuhan ekonomi.

“Sebagai badan sektor swasta tertinggi ASEAN, kami menyedari bahawa PKS menghadapi cabaran besar dalam mendigitalkan operasi mereka.

Melalui program ini, kami akan menonjolkan hasil nyata bagaimana kemahiran e-dagang dan akses pasaran serantau mampu mencipta impak ekonomi maksimum,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available
Gambar/BERNAMA

Sementara itu, Pengarah Eksekutif ASEAN Foundation, Dr Piti Srisangnam berkata, PKS adalah nadi ekonomi ASEAN dan memainkan peranan penting dalam memastikan kemakmuran dikongsi secara menyeluruh.

“Masih ramai usahawan berdepan halangan besar untuk memanfaatkan potensi internet dan pasaran digital.

“Program ini membantu mereka memperoleh kemahiran digital, keyakinan serta rangkaian penting untuk berjaya secara dalam talian,” ujarnya.

Daripada 50 PKS yang terpilih, 80% dikendalikan oleh Wanita dengan hampir tiga perempat mempunyai tenaga kerja majoriti wanita manakala 48% diterajui belia.

Sekitar 12% pula dimiliki oleh masyarakat minoriti dan pribumi, mencerminkan komitmen terhadap prinsip keterangkuman dan kepelbagaian.

Sementara itu, Pengarah Dasar Awam Asia Tenggara TikTok, Chanida Klyphun berkata, misi TikTok bukan sekadar memberi hiburan, tetapi turut memperkasakan PKS di rantau ini untuk berkembang dan menyumbang kepada kemajuan sosio ekonomi.

“Melalui kuasa penemuan dan sambungan digital, kami komited menyokong visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan terus memperluas peluang sebenar kepada PKS di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Program ASEAN SOAR Together dijangka menjadi antara inisiatif utama yang menyerlahkan potensi ekonomi digital ASEAN serta peranan e-dagang dalam memacu pembangunan mampan dan inklusif di rantau ini. - DagangNews.com

standard