Acara padanan perniagaan sempena SME Bank Xcess 2025 catat potensi jualan eksport RM62.76 juta

06/10/2025 - 17:02
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 6 Okt – Acara padanan perniagaan, International Sourcing Programme (INSP) yang diadakan sempena SME Bank XCESS 2025 baru-baru ini berjaya menjana potensi jualan eksport berjumlah RM62.76 juta.
Jumlah itu melepasi sasaran asal RM45 juta yang ditetapkan penganjur, membuktikan keberkesanan usaha yang diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menembusi pasaran antarabangsa.
Program itu menghimpunkan 20 pembeli antarabangsa dari Thailand, Indonesia, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan Brunei bersama 150 syarikat tempatan dalam pelbagai segmen perniagaan.
Sepanjang acara tersebut, sebanyak 245 sesi pertemuan perniagaan berjaya direkodkan, melibatkan perbincangan berpotensi tinggi antara pengeluar tempatan dan pembeli serantau.
Sesi ini turut membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada pasaran baharu di rantau ASEAN.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Mansor Shah Wahid berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan agensi tersebut dalam memacu agenda eksport negara melalui pengukuhan jaringan antarabangsa.
“Pendekatan membawa pembeli luar negara ke Malaysia terbukti berkesan dalam memperluas pasaran eksport syarikat tempatan.
“Dengan membawa pembeli antarabangsa ke sini, kita bukan sahaja mencipta peluang baharu untuk syarikat tempatan, tetapi turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan serantau yang dinamik,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kejayaan INSP di bawah SME Bank XCESS 2025 juga memperlihatkan keupayaan PKS Malaysia untuk bersaing di peringkat global dengan menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi yang menepati keperluan pasaran antarabangsa.
Para pembeli yang menyertai program tersebut turut melahirkan rasa puas hati terhadap kualiti perbincangan dan peluang kerjasama yang terhasil daripada sesi padanan berkenaan.
Malah, mereka mencadangkan agar program seumpama ini diadakan setiap tahun bagi memastikan kesinambungan hubungan perniagaan antara Malaysia dan negara-negara jiran.
Susulan kejayaan penganjuran tahun ini, MATRADE dengan kerjasama SME Bank berhasrat untuk meneruskan program SME Bank XCESS pada tahun 2026.
Langkah ini bertujuan memperkukuh lagi daya saing PKS Malaysia di pasaran serantau dan global, seterusnya menjadikan eksport sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. - DagangNews.com
standard

