amree07/10/2026 - 14:50 LIM Kim Hong (tengah) bergambar dengan Jimmy Chuang (kiri) dan Pengarah i-City, Eu Hong Chew (kanan) Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt — Sejumlah 500 kediaman AI Living di i-City bakal disokong teknologi pintar Garmin sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan konsep kediaman moden yang bukan sekadar mengawal rumah, tetapi turut memahami keperluan kesejahteraan penghuninya.
Kerjasama strategik dijalin antara i-City dan Garmin Malaysia itu akan mengintegrasikan ekosistem Garmin Health ke dalam persekitaran kediaman yang turut menggabungkan aspek kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi gaya hidup dan sistem bangunan pintar terbaharu.
Pengerusi i-City, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, konsep AI Living berbeza daripada rumah pintar konvensional kerana teknologi bukan sekadar membolehkan penghuni mengawal kediaman, sebaliknya membantu memahami keperluan individu dan bertindak balas terhadapnya.
"Garmin akan menjadi platform teknologi boleh pakai bagi AI Living, manakala rakan ekosistemnya, JoiiUp, menyediakan aplikasi kesejahteraan berasaskan AI serta lapisan kecerdasan menghubungkan data kesihatan dengan persekitaran kediaman," jelasnya dalam kenyataan.
Melalui seni bina AI Living, data daripada peranti Garmin berpotensi diintegrasikan ke dalam UrbanOS, iaitu platform orkestrasi pintar yang sedang giat dibangunkan i-City, tertakluk kepada isu pertimbangan teknikal, komersial dan kawal selia sedia ada.
Ujarnya, antara aplikasi yang masih lagi diteroka termasuk pemantauan kesejahteraan, keadaan tidur dan pemulihan, tahap tekanan serta cadangan kesejahteraan dengan boleh diperibadikan serta turut berdasarkan kepada data penghuni kediaman berkenaan sendiri.

Sementara itu, Ketua Negara Garmin Malaysia, Jimmy Chuang berkata teknologi boleh pakai semakin menjadi sebahagian daripada cara pengguna memahami dan mengurus kesihatan serta kesejahteraan mereka, dengan kerjasama itu berpotensi memperluas fungsi teknologi tersebut.
Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif JoiiUp, Dr Herman Chen Li-Yang berkata, AI Living meneroka pendekatan berbeza dengan menghubungkan data kesejahteraan daripada peranti boleh pakai, kecerdasan AI dan sistem kehidupan pintar dalam satu ekosistem.
"AI Living disasarkan dapat siap menjelang 2030, dengan platform kesejahteraan itu akan terus berkembang seiring kemajuan teknologi sensor boleh pakai, AI, penjagaan kesihatan pencegahan dan kesihatan digital," tambah kenyataan kumpulan berkenaan.
Bagi i-City, kira-kira 500 kediaman AI Living itu akan menjadi persekitaran sebenar pertama untuk menguji dan memperhalusi integrasi teknologi kesejahteraan, robotik, AI serta infrastruktur pintar sebelum konsep tersebut diperluas ke pembangunan i-City yang lain.
i-City mempunyai kira-kira RM5 bilion baki potensi pembangunan, sekitar lima kali ganda skala pembangunan AI Living, sekali gus membuka ruang untuk ekosistem teknologi boleh pakai itu diperluas selaras transformasi i-City menjadi pusat bandar berteraskan AI dan robotik. - DagangNews.com




