liza09/09/2026 - 13:58 Lim Kim Hong (kanan) bersama Deng Taihua ketika mengadakan kunjungan ke AI Living Lab AgiBot di Shanghai bagi meninjau perkembangan kerjasama AI Living @ i-City Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept – AgiBot bekerjasama dengan i-City untuk meneroka penggunaan robot dalam kediaman menerusi pembangunan AI Living @ i-City yang disasarkan menjadi projek rujukan global bagi penggunaan teknologi robot dalam kehidupan seharian.
Kerjasama itu membabitkan pembangunan AI Living @ i-City di Shah Alam, Selangor yang dijadualkan siap pada 2030 dan merangkumi 500 rumah yang direka untuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi baharu bagi menyesuaikan kediaman dengan perubahan keperluan penghuni.
Bagi AgiBot, projek itu bukan sekadar untuk menempatkan robot di kediaman, sebaliknya menjadi persekitaran sebenar untuk mengkaji bagaimana robot boleh membantu manusia dalam kehidupan seharian.
Syarikat itu melihat kediaman sebagai bidang baharu yang berpotensi besar untuk teknologi robot selepas memanfaatkannya dalam pelbagai sektor termasuk pembuatan, logistik, hospitaliti, hiburan, keselamatan, penyelidikan dan pendidikan.
Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif AgiBot, Deng Taihua berkata AI Living @ i-City memberi peluang kepada syarikat itu untuk memahami keperluan robot dalam persekitaran rumah serta cara teknologi berkenaan boleh berkembang mengikut keperluan manusia.
Daripada kilang ke rumah
“Penggunaan robot di rumah mempunyai cabaran berbeza berbanding kilang kerana persekitaran kediaman lebih tidak tersusun dan keperluan manusia lebih pelbagai.
“Robot dalam rumah perlu bergerak di antara perabot dan barangan harian, berinteraksi dengan manusia secara selamat serta berupaya melakukan pelbagai tugasan.
“Melalui AI Living Lab, AgiBot akan meneroka perkara yang perlu dilakukan oleh robot dalam kediaman, cara robot berinteraksi dengan penghuni serta bagaimana keupayaannya boleh ditambah baik dari masa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Ditubuhkan pada 2023, AgiBot kini sudah beralih daripada membangunkan teknologi robot kepada pengeluaran secara besar-besaran dengan robot ke-15,000 syarikat itu dihasilkan pada Jun 2026.
Tambahnya, pendekatan itu membolehkan AgiBot menguji teknologi robot dalam keadaan sebenar dan bukannya hanya dalam persekitaran kilang atau komersial yang lebih terkawal.
Kediaman yang dilengkapi teknologi
AI Living @ i-City tidak direka hanya berdasarkan teknologi robot yang tersedia ketika ini, sebaliknya dibangunkan sebagai kediaman yang boleh menerima teknologi baharu apabila ia berkembang.
Ini termasuk generasi baharu AI, robot rumah, teknologi kesejahteraan, peralatan pintar dan pelbagai perkhidmatan yang boleh diperkenalkan mengikut perubahan teknologi serta keperluan penghuni.
Deng berkata, penggunaan robot dalam rumah bukan sekadar meletakkan robot humanoid di dalam apartmen kerana keperluan seseorang turut berubah sepanjang kehidupan mereka.
Pada peringkat awal, robot boleh membantu tugasan rumah dan memberikan kemudahan harian namun apabila penghuni semakin berusia, teknologi sama berpotensi menyokong pergerakan, kesejahteraan, teman dan aspek penjagaan.
Bagi i-City, pembangunan AI Living @ i-City bukan sekadar menyediakan ruang untuk robot, sebaliknya mewujudkan persekitaran kediaman yang boleh berkembang seiring perubahan keperluan penghuni dan kemajuan teknologi.
Pengerusi i-Bhd, pemaju i-City, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, konsep AI Living tidak dibangunkan berdasarkan teknologi robot yang ada ketika ini, tetapi memberi tumpuan kepada keperluan manusia yang berubah sepanjang kehidupan, termasuk dari segi kemudahan, kesejahteraan, bantuan dan penjagaan apabila penghuni semakin berusia.
Beliau berkata, kerjasama dengan AgiBot memberi peluang kepada i-City untuk memahami bagaimana setiap generasi baharu teknologi robot boleh membantu memenuhi keperluan penghuni, dengan AI Living @ i-City berpotensi menjadi rujukan global bukan sahaja untuk penggunaan robot dalam kediaman, tetapi juga pembangunan rumah yang mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan manusia dalam era AI. - DagangNews.com






