
PETALING JAYA: Sebanyak 502 premis di seluruh negara dikenal pasti diubah suai secara ekstrem menjadi bilik sewa berkonsepkan ‘rumah sarang burung’ sejak 2023 hingga awal tahun ini.
Lebih membimbangkan, terdapat premis yang diubah suai sehingga mampu menempatkan sehingga 30 bilik dalam satu bangunan semata-mata untuk meraih keuntungan, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan kepada penghuni.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, fenomena itu banyak dikesan berlaku di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor berikutan permintaan tinggi terhadap penginapan mampu milik dalam kalangan pekerja, pelajar serta golongan berpendapatan sederhana.
Menurutnya, sebahagian besar pengubahsuaian dilakukan tanpa kelulusan pihak berkuasa berkaitan selain mengabaikan aspek keselamatan, khususnya keperluan perlindungan kebakaran.
“Kediaman atau rumah kedai berkenaan lazimnya diubah suai menjadi antara enam hingga 30 bilik sewa bergantung kepada keluasan premis.
“Keadaan ini berisiko mengundang tragedi sekiranya berlaku kebakaran kerana struktur bangunan dan laluan kecemasan mungkin tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nor Hisham berkata, walaupun kadar sewaan bagi setiap bilik antara RM250 hingga RM800 sebulan, tindakan pemilik yang melakukan pengubahsuaian tanpa kelulusan boleh mengancam keselamatan penghuni.
Selain kepadatan penghuni terlalu tinggi, kesalahan yang sering dikesan termasuk laluan keluar kecemasan ditutup atau dikecilkan, penggunaan bahan binaan mudah terbakar, pendawaian elektrik tidak mengikut piawaian serta kegagalan menyediakan kemudahan keselamatan kebakaran.
Beliau berkata, JBPM sentiasa menjalankan penguatkuasaan apabila sebanyak 55,402 pemeriksaan dilaksanakan di seluruh negara di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) dalam tempoh sama.
Daripada jumlah itu, sebanyak 4,494 premis didapati gagal mematuhi keperluan keselamatan kebakaran, manakala 30,374 Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran (MBK) telah dikeluarkan.
“Bagi premis yang dijadikan ‘rumah sarang burung’, sebanyak 345 pemeriksaan dilaksanakan dengan 129 premis dikenakan tindakan selain 603 notis dikeluarkan,” katanya.
Nor Hisham turut memberi amaran kepada pemilik premis yang gagal mematuhi keperluan keselamatan kebakaran bahawa mereka boleh dikenakan tindakan termasuk pengeluaran Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran.
Katanya, bagi premis yang mempunyai risiko kebakaran tinggi sehingga boleh mengancam nyawa penghuni, Perintah Penutupan Serta-Merta boleh dilaksanakan sehingga semua syarat keselamatan dipenuhi.
“JBPM akan mempergiatkan Op Sarang Burung bersama pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan bagi mengesan rumah kedai dan kediaman yang diubah suai secara haram,” katanya. – UTUSAN
The post 502 premis diubah suai jadi ‘rumah sarang burung’ appeared first on Utusan Malaysia.




