507 geran tanah Pantas diserah

26 Sep 2026 • 10:04 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

507 geran tanah Pantas diserah

KOTA BELUD: Sebanyak 507 geran tanah di bawah Program Perkhidmatan Khas Tanah Negeri Sabah (Pantas) diserahkan kepada penduduk sembilan kampung di kawasan Kadamaian, di sini, membabitkan keluasan keseluruhan 694.92 ekar.

Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, berkata penyerahan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan mempercepatkan penyelesaian urusan hak milik tanah rakyat yang memenuhi syarat kelayakan.

“Geran tanah memberikan kepastian dan pengiktirafan rasmi terhadap hak milik rakyat. Dokumen ini penting bagi melindungi kepentingan keluarga, mengurangkan pertikaian dan memastikan kedudukan tanah dapat diwariskan dengan lebih jelas kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur) 2026 sempena Mini Karnival Usahawan IKS Sabah di Dewan Kadamaian Square, di sini, Jumaat.

Geran berkenaan diserahkan kepada penduduk Kampung Kiau Taburi, Kiau Bersatu, Kiau Nuluh, Tomis Lubing, Tambatuan, Melangkap Tomis, Melangkap Tiong, Melangkap Nariou dan Melangkap Baru.

Kampung Tambatuan menerima jumlah tertinggi, iaitu 117 geran melibatkan 256.46 ekar, diikuti Kampung Kiau Bersatu dengan 98 geran melibatkan 132.49 ekar.

Kampung Kiau Taburi sebanyak 54 geran tanah, Kg Kiau Nuluh (69 geran tanah), Kg Tomis Lubing (25), Kg Melangkap Tomis (43), Kg Melangkap Tiong (30), Kg Melangkap Noriou (30) dan Kg Melangkap Baru sebanyak 41 geran tanah.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata Pantas yang dilaksanakan melalui Jabatan Tanah dan Ukur Sabah sejak 2011, bertujuan mempercepatkan pengukuran tanah Anak Negeri serta penyelesaian urusan pemberian hak milik tanah.

Katanya, sehingga Jun 2025, sebanyak 70,436 lot tanah adat seluas 488,705 ekar telah diukur melalui program itu, dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM251.34 juta.

Beliau berharap penduduk kampung yang menerima geran tanah dapat menjaga dan mengusahakan tanah mereka untuk kesejahteraan keluarga.

“Kerajaan akan terus berusaha memastikan urusan tanah rakyat diselesaikan secara teratur, telus dan mengikut undang-undang,” katanya.

Ewon berkata, sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab beliau untuk terus memperjuangkan peruntukan bagi pelaksanaan Program PANTAS setiap tahun supaya lebih banyak kampung mendapat manfaat.

“Saya yakin program Pantas dapat diteruskan. Sebagai Ahli Parlimen Penampang, saya juga akan terus berbincang dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan peruntukan yang diperlukan.

“Perkara ini telah saya bangkitkan dalam sidang Parlimen sebelum ini, termasuk ketika saya berada dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan. Saya yakin perbincangan dan kerjasama ini akan berterusan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved