Warga China Dikenal Pasti Anjur Pesta Dadah Di Hotel Kuala Lumpur

2 Jun 2026 • 6:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Warga China Dikenal Pasti Anjur Pesta Dadah Di Hotel Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Polis mengenal pasti seorang warga China yang ditahan dalam serbuan sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini sebagai penganjur sebuah pesta persendirian melibatkan penyalahgunaan dadah dan aktiviti tidak bermoral.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati acara tersebut dipromosikan menerusi platform Instagram dan berjaya menarik puluhan peserta sebelum pihak berkuasa menjalankan operasi serbuan.

Dalam satu serbuan pada 24 Mei lalu, polis menahan 51 lelaki dalam beberapa operasi di sebuah hotel di ibu negara serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM103,070.

Menurut Hussein, siasatan awal menunjukkan dadah yang dirampas dipercayai untuk kegunaan sendiri dan dikongsi sesama peserta yang menghadiri majlis berkenaan, bukannya untuk tujuan pengedaran.

“Bagaimanapun, usaha risikan masih diteruskan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah yang digunakan dalam acara tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes tersebut turut mendapat perhatian susulan kematian seorang individu yang dipercayai menghadiri pesta berkenaan. 

Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika operasi dijalankan, sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Hussein berkata, pihak polis masih menunggu laporan perubatan rasmi bagi menentukan punca sebenar kematian mangsa dan sama ada ia mempunyai kaitan dengan pengambilan dadah atau faktor lain.

Menurutnya lagi, hasil siasatan terkini memberikan gambaran lebih jelas mengenai skala serta bentuk penganjuran acara tersebut yang dipercayai diselaraskan menerusi media sosial.

Daripada 51 individu yang ditahan, seramai 17 orang telah didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan berkaitan pengedaran dadah.

Seorang lagi suspek didakwa mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama, manakala 33 individu berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) kerana memiliki bahan terlarang.

Hussein turut memaklumkan, warga China yang dikenal pasti sebagai penganjur acara tersebut telah didakwa mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Getaran, 2 Jun 2026