sarah29/10/2026 - 15:16 Gambar dari Facebook Briged Tenggara PGA Rasmi Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - Sebanyak 51 kes perlombongan haram di Kelantan masih dalam siasatan pihak berkuasa daripada keseluruhan 100 kertas siasatan yang dibuka sejak 2024 hingga September 2026.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sebanyak 104 operasi penguatkuasaan bersepadu dilaksanakan sepanjang tempoh itu, dengan baki 49 kes telah diselesaikan.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Kelantan 2001.
“Berdasarkan rekod penguatkuasaan Pejabat Tanah dan Galian Negeri bagi tempoh 2024 hingga September 2026, sebanyak 51 kes masih dalam siasatan, manakala baki 49 kes telah diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nik Bahrum Nik Abdullah (PAS-Chempaka) mengenai tindakan kerajaan negeri terhadap aktiviti perlombongan haram pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, tindakan penguatkuasaan termasuk penyitaan jentera dan tapak perlombongan, pemusnahan peralatan mendulang emas secara haram serta penahanan dan pendakwaan individu yang terlibat dalam aktiviti pencerobohan.
Katanya, kadar denda dan kompaun terhadap pesalah berulang turut dinaikkan sebagai langkah membendung pelanggaran undang-undang.
Kerajaan negeri juga memperkukuh langkah pencegahan melalui pemasangan papan tanda amaran serta pemantauan udara menggunakan dron di kawasan berisiko tinggi.
Beliau berkata, Pejabat Tanah dan Galian Negeri turut menjalankan operasi bersepadu secara berkala bersama Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Simpanan Persekutuan, Cawangan Khas, Jabatan Perhutanan Negeri serta Jabatan Mineral dan Geosains di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi perlombongan haram.
Langkah penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi menangani aktiviti perlombongan tanpa kebenaran serta memastikan tindakan diambil terhadap pihak yang melanggar peruntukan undang-undang negeri.- DagangNews.com






