KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan membongkar kegiatan beberapa syarikat yang dikesan menyalahgunakan kebenaran eksplorasi untuk menjalankan perlombongan haram, sekali gus menyebabkan risiko ketirisan hasil sumber mineral negeri.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kebenaran eksplorasi hanya membolehkan syarikat menjalankan aktiviti tertentu bagi menentukan kesesuaian sesuatu kawasan untuk dilombong serta menganggarkan potensi hasil galian, bukannya menjalankan perlombongan tanpa lesen sah.
"Bagaimanapun, kita dapati ada sesetengah syarikat yang hanya diberikan kebenaran untuk melakukan eksplorasi, tetapi apabila memasuki kawasan berkenaan, mereka menjalankan kegiatan perlombongan secara haram.
"Bagi kes berkenaan, kita sudah melakukan tangkapan dan rampasan membabitkan aset serta jentera syarikat terbabit," katanya pada sidang media selepas Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Mohamed Fadzli berkata, sebanyak 100 kertas siasatan dibuka melibatkan kegiatan perlombongan sejak 2024 hingga kini.
Menurutnya, kebanyakan kes yang disiasat membabitkan kegiatan perlombongan emas.
"Setakat ini 49 kes selesai, manakala selebihnya masih dalam siasatan. Kita telah sita 62 jengkaut yang dianggarkan bernilai RM15.8 juta menerusi operasi berkenaan.
"Apa yang paling penting, kita berjaya menyekat ketirisan dan kecurian," katanya.






