
KLANG – Seramai 54 warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Kompleks Pasar Besar Meru, di sini, awal pagi tadi.
Kesemua mereka terdiri daripada 48 lelaki dan enam wanita berusia antara 18 hingga 51 tahun yang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Timbalan Pengarah Imigresen Selangor (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, operasi kira-kira pukul 5.20 pagi itu dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Selangor dengan bantuan JIM Putrajaya serta kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kesemua tangkapan membabitkan 29 warga Myanmar, Bangladesh (16), Indonesia (empat), India (tiga) dan Nepal (dua).
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa,” katanya selepas operasi, di sini hari ini.
Beliau berkata, operasi turut menyaksikan beberapa warga asing cuba mengelak daripada diperiksa dengan bergerak pantas meninggalkan kawasan pasar.
“Bagaimanapun, tindakan mereka berjaya dipatahkan dan kesemua yang ditahan dibawa untuk proses dokumentasi serta pemeriksaan lanjut,” ujarnya.
Dalam pada itu, kelancaran operasi sedikit terganggu apabila bekalan elektrik di kompleks pasar terbabit terputus kira-kira 10 minit selepas operasi tangkapan dimulakan.
Keadaan berkenaan menyebabkan pasukan penguat kuasa terpaksa memindahkan lokasi dokumentasi ke kawasan yang mempunyai pencahayaan mencukupi bagi meneruskan pemeriksaan.
Mengulas kejadian itu, Mohmad Khusairi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bekalan elektrik terputus itu mempunyai kaitan dengan strategi pihak tertentu untuk mengganggu operasi.
“Bagaimanapun, ia berjaya diselesaikan dan operasi diteruskan seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata, JIM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.
Katanya, majikan juga diingatkan supaya memastikan pekerja asing mereka mempunyai dokumen serta pas yang sah dan bekerja mengikut sektor seperti ditetapkan.
“Jangan lindungi PATI kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang,” jelasnya.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE
The post 54 PATI dicekup di Pasar Besar Meru appeared first on Kosmo Digital.





