
PADANG BESAR - Kegiatan menyjmpan petrol bersubsidi terbongkar selepas seorang wanita berusia 29 tahun ditahan ketika sedang mengisi bahan api itu menggunakan sebuah Toyota Camry yang telah diubah suai di sebuah stesen minyak di sini.
Wanita berkenaan ditahan kira-kira jam 8.30 malam semalam oleh lapan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, susulan operasi risikan yang dijalankan selama seminggu.
Pengarah KPDN Perlis, Rohaida Hassan, berkata pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan menemukan sebuah tangki tambahan yang dipercayai dipasang bagi tujuan menyimpan petrol.
“Pemeriksaan terhadap Toyota Camry yang digunakan suspek mendapati terdapat sebuah tangki tambahan yang dipercayai telah diisi dengan petrol,” katanya hari ini.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa merampas 130 liter petrol yang dianggarkan bernilai RM258.70, selain menyita Toyota Camry berkenaan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM20,000.
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM20,258.70.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. - Getaran, 21 Ogos 2026






