
SUBANG JAYA – Sebanyak 198 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan kondominium di USJ 23, di sini diserbu, awal pagi tadi.
Tangkapan itu dibuat selepas pihak berkuasa memeriksa 385 penghuni dalam operasi penguatkuasaan yang turut mendedahkan keadaan penempatan warga asing yang tidak teratur serta mempunyai sambungan elektrik disyaki berbahaya.
Operasi kira-kira pukul 1.55 pagi itu dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Selangor dan Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Timbalan Pengarah Imigresen Selangor (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, 198 individu yang ditahan terdiri daripada 189 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 18 hingga 50 tahun.
Menurutnya, mereka terdiri daripada 148 warga Bangladesh, Myanmar (28), Indonesia (20), Nepal dan Pakistan masing-masing seorang.
“Antara kesalahan dikenal pasti ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas serta tinggal lebih masa.
“Kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Dalam operasi itu, suasana di rumah kongsi berkenaan bertukar kecoh apabila beberapa penghuni cuba meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.
Malah, sebahagian mereka bertindak nekad terjun ke lombong berhampiran rumah kongsi meskipun ada yang hanya berkain pelikat ketika melarikan diri.
Pasukan operasi bagaimanapun berjaya memujuk beberapa lelaki berkenaan keluar dari lombong sebelum mereka ditahan untuk pemeriksaan dan dokumentasi.
Ada juga penghuni yang cuba mengelak daripada pemeriksaan dengan bersembunyi di bawah katil.
Tinjauan turut mendapati rumah kongsi dua tingkat berkenaan turut menempatkan kemudahan seperti kedai runcit, dapur dan ruang kantin untuk kegunaan penghuni.
Keadaan di dalamnya pula kelihatan berselerak selain terdapat sambungan elektrik yang disyaki tidak selamat.
Seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 40-an yang ditahan dalam operasi itu mendakwa dia sudah menetap di rumah kongsi berkenaan dan bekerja sebagai tukang cuci rumah.
“Saya dibayar RM55 sehari sejak setahun lalu.
“Saya datang ke Malaysia menaiki penerbangan dan menggunakan pasport, tetapi sekarang pasport sudah tamat tempoh,” ujarnya.
Sementara itu, Mohmad Khusairi berkata, operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan bagi mengesan, menahan, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara.
Beliau turut mengingatkan majikan dan orang awam supaya tidak melindungi atau membantu PATI kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan PATI atau perkara yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post PATI berkain pelikat terjun lombong appeared first on Kosmo Digital.






