55 Projek Pembangunan Melaka: Apa Dan Mana Status Terkini? - Sivamalar

LocalPolitics
2 Nov 2026 • 6:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka digesa mendedahkan status terkini 55 projek pembangunan yang dilaporkan masih belum dimulakan pada Jun 2025 bagi memastikan rakyat mengetahui sejauh mana pelaksanaan pembangunan negeri sepanjang hampir 17 bulan lalu.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, perlu memberikan penjelasan terbuka berhubung perkembangan projek berkenaan sebelum meminta mandat baharu daripada rakyat.

Menurutnya, rakyat berhak mengetahui jumlah projek yang telah disiapkan, masih dalam pelaksanaan atau terus tertangguh, termasuk faktor yang menyebabkan kelewatan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diumumkan Ab Rauf pada 10 Jun 2025, daripada keseluruhan 241 projek pembangunan negeri, sebanyak 86 projek telah siap, 100 sedang dilaksanakan, manakala 55 projek masih belum bermula.

“Ini bermakna hampir satu daripada empat projek pembangunan negeri belum dimulakan ketika angka itu diumumkan.

“Persoalannya, selepas hampir 17 bulan, apakah perkembangan terkini? Adakah kesemua 55 projek itu sudah dimulakan, berapa yang telah siap dan berapa pula masih tertangguh?” katanya.

Sivamalar Genapathy
Sivamalar Genapathy

Sivamalar turut membangkitkan tahap perbelanjaan pembangunan negeri yang sehingga 31 Mei 2025 hanya mencatatkan RM19.52 juta atau 22.18 peratus daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM88 juta.

Katanya, angka berkenaan memerlukan penjelasan lanjut bagi membolehkan rakyat menilai sejauh mana peruntukan yang diluluskan benar-benar diterjemahkan kepada projek pembangunan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata, kelewatan projek bukan sekadar melibatkan angka dalam laporan pentadbiran, sebaliknya boleh memberi kesan langsung kepada penduduk yang menantikan kemudahan awam, infrastruktur dan pelbagai keperluan pembangunan di kawasan masing-masing.

Mengakui pelaksanaan projek boleh berdepan kekangan seperti proses perolehan, kelulusan teknikal, isu tanah, masalah kontraktor serta kelewatan penyaluran peruntukan, Sivamalar bagaimanapun berkata perkara itu perlu disusuli penjelasan dan tindakan penyelesaian yang jelas.

“Selaku Ketua Menteri, Ab Rauf bertanggungjawab memastikan penyelarasan antara agensi berjalan dengan berkesan dan setiap halangan pelaksanaan ditangani secara proaktif.

“Kekangan pentadbiran tidak boleh dijadikan alasan berpanjangan tanpa penjelasan dan tindakan penyelesaian yang jelas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri menerbitkan senarai penuh 55 projek berkenaan berserta lokasi, nilai peruntukan, agensi pelaksana, jadual asal, status pelaksanaan terkini dan sasaran penyiapan bagi projek yang masih belum selesai.

Kerajaan negeri juga tegas beliau, perlu memperincikan kedudukan peruntukan yang diluluskan, jumlah dana telah disalurkan serta perbelanjaan sebenar bagi memastikan prestasi pelaksanaan dapat dinilai berdasarkan fakta.

“Jika projek-projek tersebut sudah siap, tunjukkan hasilnya kepada rakyat. Jika masih tertangguh, jelaskan puncanya dan bentangkan pelan penyelesaiannya.

“Ini bukan soal mencari kesalahan semata-mata, tetapi soal kebertanggungjawaban dalam mengurus wang rakyat dan memastikan setiap peruntukan pembangunan diterjemahkan kepada hasil yang nyata,” katanya.

Tegas Sivamalar, rekod pelaksanaan projek perlu menjadi asas penilaian rakyat terhadap pentadbiran negeri, bukannya sekadar pengumuman projek, angka peruntukan atau janji pembangunan.

“Mandat lima tahun bukan lesen untuk mengelak daripada menjawab prestasi pentadbiran sebelumnya.

“Sebelum Barisan Nasional (BN) meminta kepercayaan rakyat untuk lima tahun lagi, pentadbiran Ab Rauf perlu membuktikan rekod pencapaiannya secara terbuka. Mandat baharu mesti diraih melalui rekod prestasi yang boleh disemak, bukan sekadar janji yang diulang,” katanya. - Getaran, 2 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved