
PADA 28 Oktober lalu, berlangsung majlis peletakan batu asas pembangunan Pelabuhan Sanglang yang disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Hakikatnya, Pelabuhan Sanglang bukan sekadar projek biasa sebaliknya berpotensi menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi Perlis daripada negeri yang selama ini banyak bergantung pada sektor pertanian dan perniagaan tempatan kepada pusat atau hab perdagangan, logistik dan aktiviti maritim terutama di utara Semenanjung Malaysia.
Malah, kedudukan geografi Perlis yang bersempadan dengan Thailand turut memberi kelebihan memperluas hubungan perdagangan rentas sempadan.
Projek pembangunan infrastruktur maritim berskala besar dengan anggaran kos mencecah RM1.2 bilion termasuk kos pembinaan awal sebanyak RM675 juta itu menjadi satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan ekonomi di negeri ini khususnya dalam meneroka peluang pasaran atau perdagangan yang lebih besar di peringkat domestik dan antarabangsa.
Pembangunan tersebut bakal mengubah landskap ekonomi di negeri ini dan ia perlu dirancang secara bersepadu dengan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) bagi membentuk ekosistem perdagangan, logistik dan perindustrian yang saling melengkapi.
Pelabuhan Sanglang berpotensi memperkukuh hubungan perdagangan maritim, PIP menyokong kecekapan pengendalian serta pergerakan kargo dan CVIA menjadi pemacu kepada pertumbuhan sektor perindustrian serta kemasukan pelaburan baharu.
PIP yang telah beroperasi komersial pada 13 April lalu antaranya menjadi komponen penting dalam memperkukuh keupayaan logistik darat dalam rantaian perdagangan serantau.
Kesalinghubungan antara ketiga-tiga pembangunan strategik itu disokong oleh jaringan pengangkutan jalan raya dan rel yang cekap berupaya memperkukuh rantaian bekalan, melancarkan pergerakan barangan dan meningkatkan kecekapan logistik.
Kesepaduan berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan daya saing Perlis, malah berpotensi mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab perdagangan, logistik dan perindustrian serantau sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.
Pelabuhan Sanglang yang disasarkan siap fasa pertama pada suku kedua 2029 berpotensi menyokong pelbagai aktiviti maritim melalui perancangan kemudahan yang merangkumi terminal pelbagai guna, terminal Roll-on/Roll-off (RORO), pengendalian kargo am, kemudahan perikanan dan aktiviti berkaitan tenaga.
Ia juga dirancang dengan kemudahan trestle dan beberapa terminal yang memanjang sehingga empat kilometer ke tengah laut bagi menampung pelbagai aktiviti maritim serta keperluan pengendalian kargo yang berbeza.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, menerusi perancangan strategik serta kerjasama erat semua pihak, Pelabuhan Sanglang berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri mampan, sekali gus meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat Perlis dalam jangka panjang.
Katanya, peluang tersebut akan meliputi bidang pengangkutan, pembekalan, penyelenggaraan, pergudangan, perkhidmatan sokongan dan pelbagai aktiviti ekonomi berkaitan.
“Kemudahan terminal RORO yang dirancang antaranya berpotensi menjadi pemangkin kepada kelancaran pergerakan kenderaan dan barangan di samping memperkukuh jaringan pengangkutan maritim antara Perlis dengan destinasi strategik lain khususnya Langkawi,” katanya.
Abu Bakar berkata, penyediaan kemudahan pelabuhan yang cekap dan berdaya saing dijangka dapat meningkatkan keyakinan pelabur, merancakkan aktiviti perdagangan serta membuka peluang kepada perkembangan perniagaan dan industri baharu.
Katanya, pembangunan tersebut juga berupaya menyokong usaha kerajaan negeri untuk mempelbagaikan struktur ekonomi, memperluas aktiviti komersial dan perindustrian.
Ujar beliau lagi, kejayaan sesuatu pembangunan bukan sekadar dinilai berdasarkan siapnya sesuatu projek tetapi dilihat sejauh mana manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
“Dengan siapnya projek ini kelak, diharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Perlis di samping memperluas penyertaan kontraktor tempatan, perusahaan kecil dan sederhana serta usahawan negeri dalam rantaian bekalan dan operasi pelabuhan.
“Kerajaan negeri juga berharap agar pembangunan ini dapat mewujudkan limpahan ekonomi yang menyeluruh melalui peningkatan aktiviti perdagangan, pertumbuhan perniagaan tempatan dan kewujudan peluang ekonomi baharu.
“Selain itu, kita juga mahu rakyat Perlis bukan sekadar menjadi pemerhati kepada pembangunan ini, tetapi turut menjadi peserta aktif yang memperoleh manfaat daripada pertumbuhan ekonomi yang diwujudkan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Mutiara Perlis Sdn Bhd, Datuk Shabarudin Ibrahim berkata, visi besar pembangunan projek berkenaan adalah bagi meletakkan Perlis sebagai sebuah hab logistik nasional yang berdaya saing dan disokong oleh jaringan infrastruktur pelabuhan darat, pelabuhan laut dan hab tenaga yang saling berkait rapat.
“Dalam merealisasikan visi tersebut, tiga projek utama Mutiara Perlis memainkan peranan yang amat penting iaitu PIP, Pelabuhan Sanglang dan Perlis Energy Hub,” katanya. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.
The post Pelabuhan Sanglang titik perubahan ekonomi negeri Perlis appeared first on Utusan Malaysia.






