
KUALA LUMPUR - Polis mengingatkan parti-parti dan calon-calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka supaya tidak menggunakan mana-mana masjid, gereja, kuil, tokong atau tempat beribadat untuk berkempen.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, begitu juga bagi premis, kenderaan atau alat komunikasi milik kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT), yang tidak boleh menjadi tempat berkempen.
“Bangunan awam juga tidak dibenarkan digunakan sebagai tempat perhimpunan politik dan kempen tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi bangunan atau premis tersebut," katanya, lapor Bernama.
Dzulkhairi turut memberitahu, setakat ini polis telah mengeluarkan 29 permit ceramah setakat ini bagi kempen PRN Melaka bermula Sabtu lepas, dengan tiada sebarang laporan berkaitan kacau ganggu diterima.
Daripada jumlah berkenaan, katanya, Melaka Tengah merekodkan permit tertinggi iaitu 11, diikuti Alor Gajah (10) dan Jasin (lapan).
Bagaimanapun, katanya polis menerima satu laporan berkaitan perbuatan khianat terhadap bahan kempen.
"Untuk itu saya ingin mengingatkan semua calon, parti politik dan penyokong supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta mengelakkan sebarang tindakan provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen,’’ katanya.
Beliau turut menekankan aspek keselamatan dalam pemasangan bahan kempen, khususnya di kawasan berisiko seperti persimpangan lampu isyarat dan laluan utama yang boleh mengganggu pandangan pengguna jalan raya.
“Semua pihak diseru supaya menjalankan aktiviti kempen secara matang, berhemah dan bertanggungjawab demi memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana aman serta terkawal,’’ katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari membuang undi. - 2 November, 2026
The post ‘Jangan guna rumah ibadat untuk berkempen’ polis ingatkan calon PRN Melaka appeared first on Scoop.






