57% syarikat Eropah mahu perluas operasi di Malaysia, kata Majlis Perniagaan EU-ASEAN

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2026 • 10:43 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

57% syarikat Eropah mahu perluas operasi di Malaysia, kata Majlis Perniagaan EU-ASEAN Image from: 57% syarikat Eropah mahu perluas operasi di Malaysia, kata Majlis Perniagaan EU-ASEAN liza05/08/2026 - 10:43 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Sebanyak 57% syarikat Eropah yang beroperasi di Malaysia merancang memperluaskan operasi mereka di negara ini, sekali gus mendorong gesaan supaya kerajaan mempercepatkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU).

 

Gesaan itu dibuat Majlis Perniagaan EU-ASEAN (EU-ABC) selepas Tinjauan Sentimen Perniagaan 2025 mendapati lebih separuh dari syarikat Eropah yang beroperasi di Malaysia merancang mengembangkan kehadiran mereka di pasaran tempatan.

 

Dapatan tersebut dikongsi dalam siri pertemuan antara hampir 30 syarikat Eropah dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasir pada Selasa.

 

Lawatan selama tiga hari yang diketuai EU-ABC itu bertujuan membincangkan kemajuan rundingan FTA Malaysia-EU, selain menilai iklim pelaburan negara dan mengenal pasti peluang baharu dalam sektor pertumbuhan strategik.

 

Menurut Pengarah Eksekutif EU-ABC, Chris Humphrey, syarikat Eropah melihat Malaysia sebagai destinasi yang berpotensi untuk mengembangkan aktiviti bernilai tinggi khususnya dalam sektor transformasi industri, pendigitalan dan peralihan tenaga.

 

FTA Pemangkin Pelaburan Baharu

Humphrey berkata, FTA yang komprehensif bukan sekadar mengurangkan tarif perdagangan, sebaliknya perlu menangani halangan kawal selia, memperjelaskan peraturan, memudahkan prosedur kastam serta mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih telus dan mesra pelabur.

 

Katanya, langkah itu akan memberi keyakinan lebih tinggi kepada syarikat asing untuk menambah pelaburan di samping mengukuhkan hubungan perdagangan dan ekonomi antara Malaysia dengan EU.

 

“Komuniti perniagaan Eropah turut menyatakan kesediaan menyokong agenda pembangunan ekonomi Malaysia menerusi pelaburan baharu dan kerjasama awam-swasta,” katanya.

 

t

 

t

 

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada peluang pelaburan dalam sektor pembuatan, transformasi digital dan inovasi penjagaan kesihatan yang selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

 

Selain itu, syarikat Eropah melihat potensi besar untuk mengambil bahagian dalam projek di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) termasuk melalui penyediaan modal swasta jangka panjang.

 

Malaysia Perlu Perkukuh Daya Tarikan Pelaburan

Dalam masa sama, syarikat-syarikat Eropah berpandangan Malaysia boleh meningkatkan lagi daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan dengan menyediakan dasar yang lebih konsisten dan mudah dijangka, selain memperkukuh kemudahan perdagangan digital.

 

Mereka turut mencadangkan supaya koordinasi antara agensi kerajaan dipertingkatkan bagi memudahkan proses pelaburan semula, di samping menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh kepada pelabur sedia ada yang ingin mengembangkan operasi.

 

Selain aspek dasar, pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran tenaga kerja tempatan turut dikenal pasti sebagai faktor penting untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan bernilai tinggi pada masa hadapan.

 

Humphrey berkata, Malaysia telah membina asas yang kukuh sebagai hab pelaburan serantau melalui aliran pelaburan Eropah yang berterusan, namun usaha kini perlu tertumpu kepada menterjemahkan aspirasi dasar kepada projek yang mampu menjana nilai ekonomi lebih tinggi.

 

Kesatuan Eropah merupakan antara lima rakan dagang terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala barangan mencecah €48.9 bilion pada 2025, manakala nilai pelaburan terkumpul Eropah di Malaysia berjumlah €33.1 bilion pada 2024. 

 

Selain bertemu Johari dan Akmal, delegasi Eropah turut mengadakan perbincangan dengan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berhubung pembangunan sektor kewangan, termasuk pembayaran digital, teknologi kewangan, kewangan mampan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab sebelum meneruskan siri pertemuan dengan beberapa kementerian dan agensi kerajaan bagi memperkukuh kerjasama perdagangan serta pelaburan Malaysia-EU. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved