hamden03/08/2026 - 17:57 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Ogos - AMS Advanced Material Berhad (AMS) memperluaskan segmen perniagaannya menerusi aktiviti logam sekerap aluminium selepas anak syarikatnya, AMS Ecogreen Sdn. Bhd. memperoleh semua lesen diperlukan untuk memulakan operasi tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pakar aluminium itu berkata, kelulusan lesen berkenaan membolehkan AMS menjalankan aktiviti pengumpulan, pemprosesan dan penjualan bahan sekerap aluminium sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
Aktiviti pengumpulan dan pemprosesan akan dijalankan di sebuah kemudahan di Johor dengan kapasiti pemprosesan awal dianggarkan sekitar 17 tan sebulan.
Pengarah Urusan AMS, Keh Teng Yang berkata, kelulusan tersebut satu pencapaian penting dalam merealisasikan inisiatif strategik yang telah digariskan dalam prospektus tawaran awam permulaan (IPO) syarikat.
"Kelulusan ini membolehkan kami meneruskan perancangan untuk memulakan perniagaan logam sekerap aluminium, selain mencerminkan komitmen kami terhadap pematuhan peraturan serta tadbir urus korporat yang kukuh.
"Perniagaan logam sekerap ini melengkapi operasi sedia ada AMS dalam pembekalan dan pemprosesan aluminium, di samping memanfaatkan asas pelanggan serta rangkaian industri yang telah dibangunkan," katanya.
Menurut beliau, peningkatan permintaan terhadap kecekapan sumber dan amalan pembuatan mampan dijangka membuka peluang baharu kepada AMS untuk menyertai pasaran kitar semula aluminium yang semakin berkembang.
Beliau berkata, segmen baharu itu turut berpotensi mewujudkan aliran pendapatan berulang tambahan kepada syarikat.
"Apabila lebih ramai pelanggan memberi penekanan terhadap kecekapan sumber dan pembuatan mampan, AMS berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang dalam pasaran kitar semula aluminium," katanya.
AMS terlibat dalam pembekalan dan pemprosesan pelbagai jenis produk aluminium, dengan pengembangan ke segmen kitar semula aluminium sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem perniagaan kumpulan.
Langkah memasuki perniagaan logam sekerap aluminium dijangka melengkapkan rantaian nilai sedia ada syarikat, selain menyokong pertumbuhan mampan melalui pemanfaatan bahan kitar semula dalam industri aluminium. - DagangNews.com




