57 warga Indonesia ditahan cuba masuk Malaysia melalui laluan laut tidak diwartakan

21 Oct 2026 • 12:00 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

57 warga Indonesia ditahan cuba masuk Malaysia melalui laluan laut tidak diwartakan

Seramai 57 warga Indonesia termasuk seorang tekong dan dua awak-awak ditahan selepas bot kayu yang dinaiki mereka dikesan cuba memasuki perairan negara melalui laluan tidak diwartakan di Tanjung Karang, Selangor, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) susulan maklumat risikan berhubung kegiatan penyeludupan migran di kawasan perairan berkenaan.

Menurutnya, sejurus menerima maklumat tersebut, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan operasi rondaan digerakkan ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.

“Hasil rondaan, pihak kami mengesan sebuah bot kayu berwarna merah dan hitam tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan, kira-kira 0.7 batu nautika barat daya Tanjung Karang,” katanya.

Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong warga Indonesia berusia 23 tahun bersama dua awak-awak masing-masing berumur 18 dan 28 tahun.

Turut ditemukan di atas bot itu ialah 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, terdiri daripada 31 lelaki dan 23 wanita berusia antara 18 hingga 60 tahun.

Abdul Muhaimin berkata, sebahagian daripada individu yang ditahan didapati memiliki pasport, namun dipercayai cuba memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kemasukan dan keluar negara melalui laluan tidak diwartakan serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran.

Kesemua 57 individu bersama bot yang ditahan kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Tiada kompromi

Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan jenayah rentas sempadan, selain akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan perairan negara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor menerusi talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999.

The post 57 warga Indonesia ditahan cuba masuk Malaysia melalui laluan laut tidak diwartakan appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved