Lebih 20 pasport ditemukan dalam bilik berkunci

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 5:43 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lebih 20 pasport ditemukan dalam bilik berkunci

KLANG – Pemeriksaan premis yang disyaki beroperasi tidak mengikut jenis lesen perniagaan membawa kepada penemuan lebih 20 pasport warga Bangladesh di bilik berkunci sebuah kedai serbaneka di Jalan Muafakat, Meru, di sini.

Penemuan itu dibuat menerusi operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang bermula pukul 11 pagi.

Wartawan Kosmo! yang mengikuti operasi mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti membaiki basikal meskipun lesen perniagaan yang dipamerkan adalah untuk kedai serbaneka.

Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang premis membawa kepada penemuan sebuah bilik berkunci sebelum anggota operasi terpaksa membuka pintu berkenaan secara paksa.

Sebaik pintu dibuka, anggota operasi menemukan salinan pasport di atas meja sebelum pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah pasport di dalam beg plastik dan peti simpanan besi berkunci.

Pemangku Pengarah Imigresen Selangor, Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, hasil semakan mendapati terdapat lebih 20 pasport warga Bangladesh yang mencurigakan.

Menurutnya, semakan awal mendapati pasport berkenaan mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah.

“Imigresen Selangor akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bagaimana pasport tersebut boleh berada di premis berkenaan.

“Kita juga akan memanggil majikan syarikat terbabit bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi di sini, hari ini.

Image from: Lebih 20 pasport ditemukan dalam bilik berkunci
Antara pasport yang ditemukan dalam peti simpanan di sebuah premis di Jalan Muafakat, Meru.

Beliau berkata, sebanyak 30 premis diperiksa termasuk kedai runcit dan alat pengkakas, gunting dan bengkel kenderaan dengan memeriksa 47 individu.

Katanya, pemeriksaan terhadap 47 individu mendapati 36 warga asing termasuk seorang wanita berusia antara 18 hingga 40 tahun melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Antara kesalahan dikesan ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa.

“Daripada jumlah itu, 12 warga Myanmar, Bangladesh (10), Indonesia (sembilan), India (empat) dan tiga warga negara lain,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua warga asing yang ditahan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, pihaknya turut mengeluarkan sembilan borang saman saksi kepada pemilik premis warga tempatan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

The post Lebih 20 pasport ditemukan dalam bilik berkunci appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved