sarah08/10/2026 - 11:34 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt -- Kebimbangan terhadap ekonomi mendorong 84% golongan muda lebih cenderung melabur, manakala 58.3% masih mampu mengetepikan sekurang-kurangnya RM100 sebulan untuk pelaburan, menurut tinjauan Moomoo Securities Malaysia Sdn Bhd dan Youth Economic Forum (YEF).
Hanya 6.3% responden berkata kebimbangan terhadap keadaan ekonomi menyebabkan mereka kurang cenderung untuk melabur, menurut tinjauan terhadap 206 peserta YEF 2026 yang berlangsung antara 15 hingga 30 September 2026.
Tinjauan berkenaan mendapati 46.1% responden mempunyai toleransi risiko sederhana, manakala 32.5% bersikap konservatif dan 16.5% menganggap diri mereka sebagai pelabur agresif.
Dalam pada itu, 41.7% responden percaya mereka memerlukan antara RM100 hingga RM499 untuk memulakan pelaburan, menunjukkan masih terdapat jurang antara persepsi terhadap jumlah modal permulaan dengan pilihan yang tersedia menerusi platform pelaburan digital.
Dari aspek pendidikan pelaburan, media sosial menjadi sumber pembelajaran paling banyak digunakan, dengan 62.1% responden merujuk platform berkenaan untuk mendapatkan maklumat pelaburan, berbanding 34% yang mendapatkan maklumat menerusi pendidikan formal.
Bagaimanapun, hanya 42.2% responden yakin memahami kesan yuran terhadap pulangan pelaburan, manakala 31.6% memahami fungsi akaun broker dan cara membukanya.
Lebih tiga perempat atau 75.2% responden pula berkata maklumat yang lebih jelas dan mudah difahami akan meningkatkan keyakinan mereka untuk mula melabur.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Moomoo Malaysia, Dennis Jee berkata, dapatan itu menunjukkan terdapat jurang antara kesediaan golongan muda untuk melabur dengan keyakinan mereka dalam memahami proses pelaburan.
"Cabaran bukan sekadar menyediakan lebih banyak alat pelaburan, tetapi memastikan alat dan maklumat yang berkaitan lebih mudah difahami dan digunakan," katanya.
Beliau berkata akses yang lebih luas kepada pelaburan tidak menghapuskan keperluan untuk membuat pertimbangan yang baik, dengan pelabur masih perlu memahami strategi, andaian dan risiko yang terlibat.
Menurutnya, kecerdasan buatan (AI) boleh menjadikan pelaburan lebih mudah diakses, namun pelabur perlu mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk membuat pertimbangan sendiri.
Tinjauan itu dijalankan dalam kalangan 206 peserta YEF 2026, dengan 83% responden berusia antara 18 hingga 24 tahun.
Bagaimanapun, Moomoo Malaysia dan YEF memaklumkan tinjauan itu hanya mencerminkan pandangan peserta yang mendaftar untuk YEF dan tidak mewakili keseluruhan golongan muda Malaysia. - DagangNews.com






