58 banduan dikurnia pengampunan Sultan Perak

6 Nov 2026 • 2:21 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: 58 banduan dikurnia pengampunan Sultan Perak

BATU GAJAH - Sebanyak 58 banduan dibebaskan lebih awal daripada tarikh tamat hukuman masing-masing, selepas diperkenankan pengampunan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah atas syor Lembaga Pengampunan Negeri.

Daripada jumlah itu, sebanyak 37 banduan dibebaskan dari Pusat Koreksional Batu Gajah dalam majlis yang disempurnakan Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Rosoman Abu Bakar@Che Din hari ini.

Rosoman berkata banduan terbabit ditempatkan di beberapa institusi penjara di seluruh negara termasuk Penjara Tapah, Pusat Koreksional Kamunting, Penjara Taiping, Penjara Sungai Buloh dan sebuah penjara di Negeri Sembilan.

Beliau berkata penempatan banduan di institusi berbeza itu antara lain mengambil kira permohonan mereka untuk ditempatkan lebih dekat dengan keluarga masing-masing walaupun kesalahan dilakukan di Perak.

“Daripada 58 orang itu, tiga ialah wanita manakala selebihnya lelaki, manakala banduan paling muda yang dibebaskan berusia 28 tahun dan paling tua berusia 64 tahun.

“Kesalahan yang dilakukan juga bercampur-campur, termasuk kesalahan dadah dan jenayah lain,” katanya pada sidang media selepas majlis pembebasan awal banduan pengampunan negeri Perak di Pusat Koreksional Batu Gajah, di sini hari ini.

Menurut Rosoman, pihak Jabatan Penjara bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah mengemukakan senarai nama banduan untuk dipertimbangkan bagi mendapat pengampunan bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Perak.

Beliau berkata proses itu turut melibatkan Peguam Negara dan Penasihat Undang-Undang negeri sebelum senarai berkenaan diberikan kepada Lembaga Pengampunan negeri untuk pertimbangan dan seterusnya dipersembahkan kepada Sultan Perak.

“Antara yang mendapat pengampunan ialah golongan rentan berusia 60 tahun ke atas serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak sesuai lagi berada di dalam penjara.

“Golongan ini lebih sesuai menjalani program pemulihan di luar tembok penjara dan kembali bersama keluarga masing-masing,” katanya.

Pembebasan awal itu memberi peluang kepada mereka memulakan kehidupan baharu, memperbaiki diri serta kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat sebagai individu lebih bertanggungjawab.

Terdahulu, Sultan Nazrin Shah berkenan mengurniakan sumbangan makanan berjumlah RM143,360 kepada 8,960 prospek di tujuh institusi penjara di negeri ini bersempena dengan sempena Hari Keputeraan baginda tahun ini.

Rosoman berkata kurniaan itu bukan sekadar memenuhi keperluan jasmani, malah melambangkan kasih sayang dan keprihatinan Sultan Perak terhadap rakyat tanpa mengira latar belakang atau kedudukan.

"Kurniaan ini menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan dan pembentukan insan ke arah kehidupan yang lebih baik," katanya sambil menambah sumbangan itu turut menyuntik semangat kepada prospek untuk terus memperbaiki diri dan membina harapan baharu dalam kehidupan.

Sumbangan berkenaan disampaikan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin.

Daripada jumlah keseluruhan penerima, Penjara Tapah mencatat jumlah tertinggi iaitu 4,431 prospek, diikuti Penjara Taiping (1,567), Pusat Koreksional Kamunting (1,178), Pusat Koreksional Batu Gajah (765), Penjara Satelit Kuala Kangsar (500), Pusat Koreksional Chenderiang (451) dan Rumah Perantaraan Negeri Perak (68). - 6 November, 2026

The post 58 banduan dikurnia pengampunan Sultan Perak appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved