Bebas awal penjara, hadiah Deepavali – Thilagan

6 Nov 2026 • 3:33 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bebas awal penjara, hadiah Deepavali – Thilagan

BATU GAJAH – Pembebasan awal daripada penjara menjadi hadiah Deepavali paling bermakna buat dua prospek di Pusat Koreksional Batu Gajah apabila berpeluang menyambut perayaan itu bersama keluarga selepas lebih tiga tahun terpisah.

Lebih menyentuh hati, lelaki yang mahu dikenali sebagai Thilagan, 36, itu meluahkan rasa syukur apabila dia berpeluang meraikan ulang tahun kelahiran ibunya ke-73 pada Ahad ini.

“Memang saya sangat gembira kerana dapat balik ke rumah dan sambut Deepavali bersama keluarga. Saya juga dapat sambut hari jadi mak yang kebetulan pada 8 November ini.

“Sebelum ini, saya fikir memang tidak berpeluang menyambut Deepavali bersama keluarga, tetapi saya berdoa kepada tuhan dan akhirnya dapat juga keluar sebelum perayaan,” katanya ketika ditemui di Pusat Koreksional Batu Gajah, di sini hari ini.

Menurut bapa kepada seorang anak itu, perkara pertama yang mahu dilakukannya sebaik bertemu ibu adalah memegang kaki wanita berkenaan sebagai tanda memohon maaf atas segala kesilapan dan perbuatannya.

“Saya mahu minta maaf dengan mak dahulu. Saya tahu selama ini banyak menyakitkan hati dia. Saya sudah berusia 36 tahun dan tidak mahu lagi mengulangi kesilapan sama sehingga terpaksa masuk penjara berulang kali. Saya mahu berubah dan mencari pekerjaan selepas ini,” katanya.

Bagi seorang lagi prospek dikenali sebagai Siva, 33, dia tidak menyangka namanya terpilih untuk menerima pengampunan dan dibebaskan lebih awal berbanding tarikh tamat hukuman pada 2 Disember depan selepas menjalani hukuman sejak Disember 2022.

Katanya, pembebasan awal itu membolehkannya kembali menyambut Deepavali bersama keluarga selepas empat tahun tidak berpeluang meraikan perayaan berkenaan bersama insan tersayang.

“Saya tidak sabar untuk pulang ke rumah dan menikmati hidangan kegemaran seperti kari kambing dan muruku. Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada Sultan Perak kerana memberikan peluang ini. Saya mahu berubah dan tidak mahu masuk penjara lagi,” katanya.

Thilagan dan Siva merupakan dua daripada 58 banduan yang dikurniakan pembebasan awal oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-70. – KOSMO! ONLINE

The post Bebas awal penjara, hadiah Deepavali – Thilagan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved