
BATU GAJAH: Pembebasan awal daripada penjara menjadi hadiah Deepavali paling bermakna buat seorang prospek di Pusat Koreksional Batu Gajah apabila berpeluang menyambut perayaan itu bersama keluarga selepas lebih tiga tahun terpisah.
Lebih menyentuh hati lelaki yang mahu dikenali sebagai Thilagan, 36, itu apabila dia berpeluang meraikan ulang tahun kelahiran ibunya yang ke-73 pada Ahad ini.
Katanya, peluang yang diberikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena ulang tahun keputeraan baginda itu amat disyukuri dia dan keluarga.
“Memang saya sangat gembira kerana dapat balik ke rumah dan sambut Deepavali bersama keluarga. Saya juga dapat sambut hari jadi mak yang kebetulan pada 8 November ini.
“Sebelum ini, saya fikir memang tidak berpeluang menyambut Deepavali bersama keluarga, tetapi saya berdoa kepada tuhan dan akhirnya dapat juga keluar sebelum perayaan,” katanya ketika ditemui di Pusat Koreksional Batu Gajah, di sini hari ini.
Menurut bapa kepada seorang anak itu, perkara pertama yang mahu dilakukannya sebaik bertemu ibu adalah memegang kaki wanita itu sebagai tanda memohon maaf atas segala kesilapan dan perbuatannya.
Katanya, dia sedar perbuatannya sebelum ini banyak mengguris hati ibunya dan bertekad tidak mahu mengulangi kesilapan sama khususnya terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
“Saya mahu minta maaf dengan mak dahulu. Saya tahu selama ini banyak menyakitkan hati dia.
“Saya sudah berusia 36 tahun dan tidak mahu lagi mengulangi kesilapan sama sehingga terpaksa masuk penjara berulang kali. Saya mahu berubah dan mencari pekerjaan selepas ini,” katanya.
Bagi seorang lagi prospek dikenali sebagai Siva, 33, dia tidak menyangka namanya terpilih untuk menerima pengampunan dan dibebaskan lebih awal berbanding tarikh tamat hukuman pada 2 Disember depan selepas menjalani hukuman sejak Disember 2022.
Katanya, pembebasan awal itu membolehkannya kembali menyambut Deepavali bersama keluarga selepas empat tahun tidak berpeluang meraikan perayaan berkenaan bersama insan tersayang.
“Saya tidak sabar untuk pulang ke rumah dan menikmati hidangan kegemaran seperti kari kambing dan muruku.
“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada Sultan Perak kerana memberikan peluang ini. Saya mahu berubah dan tidak mahu masuk penjara lagi,” katanya.
Thilagan dan Siva merupakan dua daripada 58 banduan yang dikurniakan pembebasan awal oleh Sultan Nazrin sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-70.
Kesemua banduan itu menjalani hukuman di enam institusi penjara iaitu Penjara Tapah, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Koreksional Batu Gajah, Penjara Taiping, Penjara Seberang Perai dan sebuah penjara di Negeri Sembilan. – UTUSAN
The post Pembebasan awal hadiah bermakna buat dua prospek sempena Deepavali appeared first on Utusan Malaysia.






