6,620 teks al-Quran disita dalam Ops Mulia KDN

LocalPolitics
17 Apr 2026 • 5:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 6,620 teks al-Quran disita dalam Ops Mulia KDN
Saifuddin Nasution (kiri) ketika Program Pemurnian Al-Quran KDN di perairan berhampiran Pelabuhan Klang pada Jumaat.

PELABUHAN KLANG – Sebanyak 6,620 unit teks dan bahan al-Quran disita kerana melanggar peruntukan undang-undang dalam pemeriksaan dijalankan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu.

Operasi berkenaan turut melibatkan pemeriksaan ke atas 1,758 premis dengan nilai penguatkuasaan mencecah RM378,171.92.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada pelaksanaan Ops Mulia yang digerakkan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurutnya, penguatkuasaan tersebut dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan semua teks dan bahan al-Quran yang berada di pasaran mematuhi standard ditetapkan.

"Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan bertanggungjawab mengambil tindakan sekiranya terdapat naskhah atau mushaf al-Quran yang mempunyai kesilapan atau tidak mematuhi piawaian ditetapkan pihak berkuasa agama.

"Sebarang perubahan walaupun pada baris atau huruf boleh membawa maksud berbeza, justeru aspek integriti mushaf perlu dipelihara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Pemurnian Al-Quran KDN di perairan berhampiran Pelabuhan Klang pada Jumaat.

Saifuddin Nasution berkata, dalam tempoh sama juga sebanyak 44 kertas siasatan telah dibuka bagi tindakan lanjut termasuk pendakwaan atau kompaun.

Katanya, penguatkuasaan tidak terhad kepada bahan bercetak semata-mata, sebaliknya turut merangkumi mushaf dalam bentuk digital dan audio termasuk yang dijual di platform e-dagang.

"Semua bentuk ini tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang terdiri daripada pakar dan ilmuwan Islam yang menilai kandungan secara menyeluruh.

"Malah mushaf yang mempunyai kod bar juga dipantau bagi memastikan ketepatan serta kelulusan kandungan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha penguatkuasaan tersebut dilaksanakan selaras dengan peruntukan Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

"KDN akan terus komited melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan kawal selia secara berterusan bagi memastikan kesucian al-Quran sentiasa terpelihara," katanya.