8,672 teks al-Quran dilupus, bongkah 1.5 tan dilepaskan ke laut

Local
17 Apr 2026 • 5:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 8,672 teks al-Quran dilupus, bongkah 1.5 tan dilepaskan ke laut
Saifuddin (tengah) ketika sidang akhbar Program Pemurnian Al-Quran KDN di perairan berhampiran Pelabuhan Klang pada Jumaat.

PELABUHAN KLANG – Sebanyak 8,672 teks dan bahan al-Quran bernilai RM2.7 juta dilupuskan menerusi proses pemurnian melibatkan pelepasan bongkah seberat 1.5 tan ke dalam laut di perairan berhampiran Pelabuhan Klang pada Jumaat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelupusan itu dilaksanakan selepas melalui proses pemurnian ketat melibatkan pengoyakan, pengisaran, penghancuran dan pembakaran sehingga menjadi bongkah.

Menurut beliau, bongkah abu tersebut kemudiannya dilepaskan ke laut mengikut garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan kesucian al-Quran terus terpelihara.

“Proses ini memerlukan kebenaran mahkamah selain kelulusan daripada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran sebelum pelupusan dilaksanakan.

“Ia adalah sebahagian daripada komitmen berterusan KDN dalam memastikan kesahihan dan ketulenan teks al-Quran di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, program tersebut dilaksanakan di lokasi kira-kira 13 batu nautika dari daratan dengan kedalaman sekitar 10 meter menggunakan Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), selaras dengan garis panduan pelupusan yang telah ditetapkan oleh KDN melalui Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ).

Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan bahawa tidak semua pelupusan berpunca daripada pelanggaran undang-undang, sebaliknya terdapat juga kes melibatkan mushaf rosak akibat bencana seperti banjir dan kebakaran.

“Dalam keadaan tersebut, terdapat kaedah khusus bagi memastikan pelupusan dilakukan dengan penuh tertib dan menghormati kesucian al-Quran,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, KDN turut melaksanakan inisiatif kesedaran awam menerusi program Jom Exchange Al-Quran yang membolehkan orang ramai menukar mushaf lama kepada mushaf baharu secara percuma.

“Sejak 2023, sebanyak 725 program telah dilaksanakan melibatkan 76,235 mushaf yang ditukarkan.

“Program ini juga telah diiktiraf oleh Malaysian Book of Records sebagai ‘the largest Quran exchange’,” katanya.

Tambah beliau, gabungan usaha pemurnian dan pendidikan masyarakat itu mencerminkan pendekatan menyeluruh KDN dalam memelihara kesucian al-Quran.

“Usaha ini akan terus diperkukuh selaras dengan Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 demi kemaslahatan umat Islam di negara ini,” katanya.

View Original Article