PELABUHAN KLANG – Kerajaan akan melengkapkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dengan keperluan persenjataan bagi memperkukuh tahap keselamatan serta kesiapsiagaan agensi berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dicapai menerusi beberapa mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini yang membincangkan keperluan mendesak berkenaan.
Menurut beliau, keperluan tersebut timbul susulan insiden serangan terhadap komander AKPS di Bukit Kayu Hitam yang menjadi pencetus kepada perbincangan lanjut di peringkat kementerian.
"Pada dua mesyuarat Jemaah Menteri yang lepas, perkara ini telah dibincangkan dengan pelbagai cadangan dikemukakan.
"Daripada situ, kami di Kementerian Dalam Negeri bersama Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah AKPS bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk mempersiapkan elemen persenjataan kepada AKPS,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika Program Pemurnian Al-Quran Kementerian Dalam Negeri di perairan sekitar Pelabuhan Klang pada Jumaat.
Saifuddin menjelaskan, antara pilihan persenjataan yang sedang diteliti termasuk penggunaan senjata renjatan elektrik (taser) serta senjata api ringan.
"Kita ada beberapa pilihan, antaranya komponen taser gun yang juga satu keperluan, dan komponen senjata ringan yang turut dilihat penting.
"Kedua-dua pilihan ini sedang diperhalusi oleh Ketua Setiausaha KDN selaras dengan arahan Jemaah Menteri,” ujarnya.
Tambah beliau, aspek pelaksanaan termasuk jenis persenjataan dan fasa penggunaannya masih dalam penelitian sebelum dimuktamadkan.
"Dari segi timeline dan fasa pelaksanaan, kita akan tentukan sama ada taser gun didahulukan, pistol dahulu atau dilaksanakan serentak, itu akan diperhalusi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak mahu sebarang kelewatan dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan memandangkan risiko tugas yang dihadapi AKPS.
"Saya telah maklumkan kepada Ketua Setiausaha supaya perkara ini tidak dilengah-lengahkan kerana tugas AKPS sangat berbahaya dan berdepan pelbagai ancaman,” katanya.
Menurutnya, gerak kerja awal telah dimulakan dan pengumuman rasmi berkaitan perkara itu dijangka dibuat dalam masa terdekat.
"Insya-ALLAH, kita akan umumkan dalam masa terdekat, sebelum hujung tahun ini,” jelas beliau.
Media sebelum ini melaporkan Cadangan penggunaan senjata api oleh anggota AKPS kini sedang diperhalusi di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Saifuddin berkata, perkara itu telah dibincangkan dan diangkat sebagai syor oleh Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain susulan insiden tembakan komander agensi itu di Bukit Kayu Hitam, Kedah, Februari lalu.
25 Februari lalu, Kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak dalam satu kejadian di sini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian pada 5.40 pagi itu yang berlaku kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.
Beliau berkata, mangsa sedang menghala ke Masjid Al Muhajirin Bukit Kayu Hitam untuk menunaikan solat Subuh sebelum didatangi dua individu berpakaian serba hitam menaiki motosikal dengan topi keledar full-face.
Ujar beliau, seorang daripada suspek melepaskan dua tembakan yang terkena pintu di bahagian kanan belakang kenderaan dan pintu sebelah penumpang hadapan, namun tidak mendatangkan kecederaan kepada mangsa.



