6 Cara Bagaimana Menjaga Kesihatan Mental Ketika Menjaga Ibu Bapa Yang Tua

Family & Parenting
2 Jul 2024 • 4:00 PM MYT
Cik Mas Menulis
Cik Mas Menulis

Seorang penulis konten Bahasa Melayu dan suka menulis tentang gaya hidup.

Image from: 6 Cara Bagaimana Menjaga Kesihatan Mental Ketika Menjaga Ibu Bapa Yang Tua
Foto oleh Cik Mas

Saya rasa tak ramai orang mahu berkongsi pahit manis menjaga ibu bapa yang uzur. Konten jaga bayi tak terhitung banyaknya, tetapi bagaimana pula dengan orang tua atau panggilan gurauannnya: bayi tua?

Adakah kerana perkara ini sensitif, tidak glamour dan tidak indah seperti menjaga bayi kecil? Atau kerana kita semua takut kalau-kalau terlebih bicara dan keluhan sehingga terjatuh dalam golongan anak derhaka? Sebenarnya, saya pun risau dengan apa yang akan saya kongsikan ini, haha.

Meskipun begitu, kelompangan tentang isu menjaga orang tua ini membuatkan saya rasa terpanggil untuk berkongsi cabaran-cabaran menjaga orang tua, iaitu ibu saya sendiri dan enam cara bagaimana saya menjaga kesihatan mental ketika menjaga beliau.

Niat saya jelas, untuk menormalisasikan perbualan tentang isu ini di samping memberi sokongan secara tidak langsung kepada anak-anak atau penjaga orang tu; yang mereka tidak keseorangan dalam ujian ini.

Cabaran menjaga orang tua

Pada masa artikel ini ditulis, ibu saya mengalami kesukaran untuk bergerak kerana sakit lutut, obesiti dan bongkok. Kemampuan untuk bergerak dan berdiri juga semakin terhad berbanding sebelum ini. Antara cabaran yang saya hadapi sebagai penjaga orang tua:

Perubahan rutin

Sebelum ini, rutin harian hanya melibatkan diri saya sahaja. Apabila ibu datang, ianya perlu diubah dan disesuaikan mengikut keutamaan. Contohnya, pagi-pagi saya dah kena sediakan sarapan pagi ibu. Kalau nak ikut waktu makan saya, berlaparlah ibu, haha.

Selera tekak ibu yang tersendiri

Sesuatu yang baharu yang saya belajar mengenai selera ibu: nasinya harus baharu masak, tidak boleh lembik, tidak boleh keras, tidak boleh pedas, dan tidak mahu lauk yang berulang kali diperhangat. Senang cerita, sedap macam beliau masak, haha! Ianya cabaran untuk saya kerana saya hidup bujang dan saya okey sahaja makan lauk yang sama selama beberapa hari. Pening kepalo fikir menu untuk dio, haha.

Ibu mengalami kesukaran untuk bergerak

Ibu perlukan bantuan untuk mandi, makan, minum, solat dan sebagainya. Ketika waktu mandi contohnya, saya akan mencuci rambut dan badannya. Ada masanya saya perlu memanaskan air untuknya, untuk pujuk dia mandi. Sama macam dia pujuk saya dan adik beradik lain waktu kecil dahulu. :')

Ingatan ibu juga sudah terjejas

Kalau ibu cerita atau tanya perkara yang sama dan berulang kali, saya layan dan bersabar sahaja. Kita pura-pura macam baru tahu!

Ibu, sama seperti saya dan anda ada waktu moody dan beremosi

Jadi perbalahan kecil, bermasam muka, berasa hati itu sering kali terjadi.

6 cara bagaimana menjaga kesihatan mental anda ketika menjaga ibu yang uzur

Image from: 6 Cara Bagaimana Menjaga Kesihatan Mental Ketika Menjaga Ibu Bapa Yang Tua
Image Credit: Freepik

Sabar, sabar dan sabar

Yup, all in all, sabar is the key.

Image from: 6 Cara Bagaimana Menjaga Kesihatan Mental Ketika Menjaga Ibu Bapa Yang Tua
Image Credit: Freepik

Perbaiki komunikasi

Saya bersyukur saya pernah pergi terapi percakapan. Dari situ, saya belajar banyak tentang cara berkomunikasi secara efektif seperti “I” statement dan komunikasi asertif. Contoh komunikasi yang berkesan yang saya selalu lakukan: “Mek, adik nak rehat setengah jam, adik penat.” Beritahu kadar masa dan beritahu perasaan anda dengan jelas!

Image from: 6 Cara Bagaimana Menjaga Kesihatan Mental Ketika Menjaga Ibu Bapa Yang Tua
Image Credit: Freepik

Jaga kesihatan mental dan emosi

Sekali lagi, saya banyak belajar mengurus stres daripada terapi percakapan seperti rekod pemikiran, menulis diari atau jurnal, pernafasan dalaman, menetapkan batasan dan sebagainya. Ianya sedikit sebanyak membantu saya mengurus tekanan hidup dengan lebih berstruktur dan baik daripada sebelum ini.

Image from: 6 Cara Bagaimana Menjaga Kesihatan Mental Ketika Menjaga Ibu Bapa Yang Tua
Image Credit: Niraamaya Retreats

Me time

Ah, betapa pentingnya perkara ini! Me time saya seperti mengasingkan diri sebentar, duduk di dalam bilik, melakukan hobi, bermain dengan kucing dan keluar mengambil angin. Keluar beli barang dapur pun dah happy dan release!

Image from: 6 Cara Bagaimana Menjaga Kesihatan Mental Ketika Menjaga Ibu Bapa Yang Tua
Foto oleh Cik Mas

Dapatkan sokongan

Tak ramai boleh faham tekanan menjadi penjaga kepada orang tua. Jadi kalau ada tempat meluah yang selamat dan tidak menghukum, bersyukurlah! Alternatif lain, dapatkan sokongan daripada komuniti yang mengangkat isu ini seperti grup sokongan, ahli profesional kesihatan mental dan sebagainya. Saya ingin mendedikasikan jutaan terima kasih kepada teman rapat saya yang sudi mendengar dan berkongsi rasa dan pengalaman yang sama.

Image from: 6 Cara Bagaimana Menjaga Kesihatan Mental Ketika Menjaga Ibu Bapa Yang Tua
Image Credit: Freepik

Change your mindset

Satu perkara baharu yang saya belajar daripada teman saya: ubah cara berfikir daripada anak kepada “carer”.

Maksudnya, anda menjadi “ibu dan bapa” pula kepada mereka. Kalau sewaktu kecil, mereka ialah ibu bapa kita, pada masa sekarang, jadikan sebaliknya. Dengan cara ini, kita akan menjadi lebih bijak mengurus jangkaan, menetapkan batasan dan menjadi tegas pada masa dan tempat yang betul. Saya fikir, mindset ini akan membantu urusan penjagaan ini menjadi sedikit ringan dan kita tidak lagi menghukum diri kita secara berlebihan mahupun sewenang-wenangnya atas ketegasan kita.

Image from: 6 Cara Bagaimana Menjaga Kesihatan Mental Ketika Menjaga Ibu Bapa Yang Tua
Image Credit: Freepik

Ada pernah satu ketika, emosi saya tidak baik dan saya berasa marah, namun ibu menuntut sesuatu. Berkatalah dalam diri dan hati saya: “Ya Allah, sesungguhnya aku lakukan ini untuk mendapat keredaan-Mu. Berilah aku kesabaran dalam menjaga ibuku. Ampuni aku dan berikanlah aku syurga.” Saya bersyukur sangat saya tak meninggikan suara dan bersabar memenuhi permintaan ibu. Saya melakukannya dengan tenang, lapang dan sabar. Alhamdulillah. Ini contoh situasi betapa pentingnya mempunyai kekuatan mental dan emosi.

Sebagai penutup, saya ingin berkongsi satu hadis tentang kepentingan berbuat baik kepada ibu bapa sebagai peringatan untuk diri sendiri saya juga.

Daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau berkata:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ قَالَ ‏"‏ الصَّلاَةُ لِوَقْتِهَا ‏"‏ ‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏"‏ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ‏"‏ ‏ قَالَ قُلْتُ ثُمَّ أَىٌّ قَالَ ‏"‏ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏"‏ ‏

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan amalan apakah yang paling afdhal, lalu Baginda menjawab: “Solat pada waktunya.” Kemudian aku bertanya lagi, apakah amalan yang seterusnya? Jawab Baginda: “Berbakti kepada kedua ibu bapa.” Kemudian aku bertanya, apakah lagi seterusnya? Jawab Baginda: “Berjihad di jalan Allah.” Riwayat al-Bukhari (85)

Saya berharap golongan-golongan penjaga/ pengasuh orang tua ini diberikan penghargaan, kasih sayang dan pertolongan yang sewajarnya daripada kaum keluarga, pasangan dan masyarakat. Semoga kesabaran dan pengorbanan kita semua dibalas dengan nikmat syurga kelak. Amin yarabbal alamin!

Anda pernah ada pengalaman menjaga orang tua?


Cik Mas Menulis adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.