
JAKARTA – Agensi Geologi Indonesia menolak kemungkinan adanya proses geologi yang sama di sebalik letusan serentak enam gunung berapi pada 31 Ogos lalu, dengan menyatakan, peristiwa tersebut merupakan aktiviti gunung berapi secara bebas, demikian menurut laman berita Jakarta Globe.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) menyatakan, tiada bukti bahawa keenam-enam gunung berapi itu mencetuskan letusan satu sama lain atau letusannya disebabkan oleh proses geologi yang sama.
Gunung berapi yang meletus dalam tempoh hampir sama itu adalah Gunung Ibu di Maluku Utara, Gunung Semeru di Jawa Timur, Gunung Lewotobi Laki-laki dan Gunung Ili Lewotolok di Nusa Tenggara Timur, Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda dan Gunung Sinabung di Sumatra Utara.
Ketua PVMBG, Rita Susilawati berkata, kedudukan Indonesia di sepanjang Lingkaran Api Pasifik dan memiliki 127 gunung berapi aktif membolehkan beberapa gunung berapi meletus pada hari sama tanpa mempunyai kaitan secara sistematik.
“Secara ringkasnya, setiap gunung berapi mempunyai kebuk magmanya sendiri, dan proses yang membawa kepada letusan juga berbeza dari satu gunung berapi ke gunung berapi yang lain,” kata Rita di kompleks Agensi Geologi di Bandung pada Rabu lepas seperti dipetik agensi berita Antara.
“Kami tidak menemui bukti proses geologi tunggal yang mencetuskan semua letusan ini secara serentak pada 31 Ogos 2026,” katanya. – AGENSI
The post 6 gunung berapi Indonesia meletus serentak appeared first on Kosmo Digital.



