
PUTRAJAYA: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 hari ini membawa khabar gembira buat rakyat apabila kerajaan mengumumkan enam ikhtiar segera bagi memberi manfaat secara langsung dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Inisiatif itu termasuk meningkatkan semula kelayakan asas Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan yang berkuat kuasa esok.
Langkah itu turut memberi kelegaan kepada lebih 500,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak apabila mereka akan menikmati peningkatan kelayakan BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.
Selain subsidi bahan api, tersebut, ikhtiar yang diumumkan termasuklah berkaitan penyelenggaraan sekolah, pendigitalan kesihatan, kecerdasan buatan (AI), e-Invois dan pembiayaan mikro yang semuanya berkuat kuasa esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju meningkatkan peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun 2027 sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.
Menurutnya, peningkatan tersebut melibatkan semua aliran sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta institusi pendidikan khas.
“Saya turut mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah bagi meneliti permohonan pembaikan prasarana sekolah agar kerja penyelenggaraan dapat dimulakan seawal Januari 2027,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Program AI Untuk Rakyat juga akan diperluaskan kepada golongan belia berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Katanya, seramai 100,000 belia yang berjaya melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan percuma aplikasi kecerdasan buatan (AI) selama tiga bulan melibatkan IlmuChat, Gemini Enterprise, Wonderclip dan MuleRun.
“Bagi memperkukuh transformasi digital sektor kesihatan awam pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan peruntukan RM1 bilion.
“Peruntukan itu meliputi pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik serta peningkatan ketersambungan internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam di seluruh negara,” katanya.
Perdana Menteri menambah, kerajaan turut bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.
Menurutnya, keputusan itu bermakna mana-mana perniagaan yang mencatatkan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan sistem e-Invois.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan akan menambah kemudahan pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion menjadikan keseluruhan dana pembiayaan bagi tahun 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
Pada masa sama, kerajaan akan memperkenalkan Geran Sejahtera Madani berjumlah RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta golongan ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah.
Anwar berkata, kesemua enam inisiatif tersebut akan mula dilaksanakan secara rasmi bermula esok sebagai sebahagian komitmen kerajaan dalam memastikan manfaat pembangunan negara dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
“Enam ikhtiar segera itu akan memberi manfaat langsung kepada rakyat merangkumi golongan pelajar, belia, peniaga kecil dan sederhana serta sektor kesihatan awam, berkuat kuasa mulai 1 September ini.
“Langkah ini diumumkan bersempena sambutan Ambang Merdeka sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh kesejahteraan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, beliau mengakui pelbagai bantuan dan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan setakat ini masih belum mencukupi untuk mengurangkan sepenuhnya beban kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
Katanya, kerajaan sedar masih banyak perkara perlu diperbaiki meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta kumpulan masyarakat lain.
“Apakah ini memuaskan saya? Tidak. Apakah ini dapat mengurangkan kesengsaraan kos sara hidup? Belum. Kita akui harus ada langkah-langkah yang berterusan diambil,” katanya.
Menurut Perdana Menteri lagi, semua dana yang dirampas daripada hasil haram menerusi proses perundangan dan keputusan badan kehakiman akan dipulangkan semula kepada rakyat, khususnya bagi memperkukuh sektor pendidikan dan kesihatan negara.
Jelas Anwar, langkah itu selaras dengan prinsip Kerajaan Madani bahawa pertumbuhan ekonomi negara mesti dinikmati dan dikembalikan kepada rakyat.-UTUSAN.
The post 6 ikhtiar bantu rakyat appeared first on Utusan Malaysia.

![[INFOGRAFIK] PM umum enam ikhtiar untuk rakyat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/08/30/3631402.webp)




