Lelaki alami gangguan mental ditahan polis

LocalHealth & Fitness
12 Jun 2026 • 4:36 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lelaki alami gangguan mental ditahan polis

KOTA BELUD: Polis menahan seorang lelaki disyaki mengalami gangguan mental selepas dikaitkan dengan beberapa insiden yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk di daerah ini.

Antara kejadian termasuklah lelaki terbabit bertindak agresif sehingga menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan kerosakan harta benda.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata pihak polis berjaya mengesan dan menahan individu berkenaan kira-kira jam 4 petang pada Rabu susulan maklumat yang diterima daripada orang ramai.

Menurutnya lelaki berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Kota Belud untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan sebelum dirujuk ke Bahagian Psikiatri, Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan serta pemantauan lanjut.

“Hasil semakan mendapati individu tersebut mempunyai rekod rawatan kesihatan mental di Hospital Kota Belud dan Hospital Mesra Bukit Padang.

“Semakan lanjut juga mendapati individu berkenaan tidak mempunyai waris terdekat yang boleh dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan memantau keadaannya,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata tindakan yang diambil adalah selaras dengan Seksyen 11 Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) yang membenarkan seseorang yang disyaki mengalami gangguan mental dan dipercayai boleh membahayakan diri sendiri, orang lain atau harta benda dibawa ke dalam jagaan bagi tujuan pemeriksaan perubatan segera.

Sehubungan itu Shahrudin menegaskan bahawa aspek keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan pihak polis sambil memberi jaminan bahawa PDRM akan terus mengambil langkah proaktif dan sewajarnya bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat terus terpelihara dan keadaan kekal terkawal.

Terdahulu tular beberapa rakaman video di media sosial yang memaparkan individu terbabit dipercayai bertindak agresif di sekitar premis pekan Kota Belud.

Individu itu dilihat memukul orang awam menggunakan tangan selain merosakkan harta benda awam serta premis perniagaan sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.