6 Sekeluarga Dilaporkan Hilang Disahkan Selamat - Polis

2 Apr 2026 • 6:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Enam sekeluarga yang dilaporkan hilang awal minggu ini disahkan berada dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, wanita terbabit bersama lima anaknya itu tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong malam semalam.

Menurut beliau, mereka tiba di IPD tersebut sekitar jam 9.30 malam dalam keadaan baik.

“Kemunculan mereka menamatkan kes kehilangan, yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Siasatan awal mendapati tindakan meninggalkan rumah adalah berpunca daripada perselisihan keluarga,” katanya hari ini.

Terdahulu, polis menerima laporan kehilangan enam beranak terbabit pada jam 7.34 malam, 30 Mac lalu.

Laporan mengenai kehilangan mereka dibuat suami wanita itu, merangkap bapa kepada lima anak pasangan berkenaan.

Pengadu memberitahu, isteri dan anak-anaknya telah keluar dari kediaman mereka di Taman Orkid, Bentong, kira-kira jam 6.30 pagi pada hari sama.

Kes kehilangan enam beranak itu mendapat perhatian umum, namun pihak berkuasa mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian tersebut.

Zaiham turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas bantuan yang diberikan dalam menyelesaikan kes berkenaan.

Beliau juga berterima kasih kepada penduduk di Bentong atas kerjasama dan maklumat yang disalurkan sehingga membawa kepada penemuan keluarga terbabit. – Getaran, 2 April 2026