6 Stesen LRT Laluan Ampang/Sri Petaling Kembali Beroperasi Semula Pagi Esok

11 May 2023 • 1:19 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Perkhidmatan tren di enam stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang membabitkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul, dan Sentul Timur akan kembali beroperasi semula kepada pengguna bermula 6 pagi esok.

Menurut kenyataan Rapid Rail Sdn Bhd, stesen berkenaan dibuka semula selepas fasa pertama kerja pembaikan sementara struktur jejambat dan landasan yang rosak berhampiran stesen Bandaraya selesai dijalankan.

Tambahnya, tren yang perlu menjalani proses penyelenggaraan telah dibawa ke depoh LRT di Ampang dan tren gantian akan digunakan bagi tujuan perkhidmatan operasi ini.

“Serentak dengan pembukaan stesen terbabit, perkhidmatan bas LRT 11,13 dan 14 akan ditamatkan.”

“Kerja pembaikan menyeluruh (fasa kedua) struktur landasan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan Oktober ini dan seterusnya operasi perkhidmatan LRT laluan Ampang-Sri Petaling akan kembali beroperasi secara normal,” katanya.

Selain itu, Rapid Rail juga akan mengaktifkan semula perkhidmatan bas perantara percuma (Bas LRT 10) yang akan menghubungkan Stesen LRT Masjid Jamek ke Bandaraya akibat daripada gangguan perkhidmatan di antara kedua-dua stesen untuk melancarkan perjalanan pengguna.

Para pengguna juga dinasihatkan agar menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan info semasa mengenai perkhidmatan LRT.

image is not available

Terdahulu, operasi perkhidmatan LRT di enam stesen berkenaan dihentikan kerana tren yang beroperasi tidak lagi memenuhi kriteria pengoperasian dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

Perkara itu susulan kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu.

Fuhh berita baik untuk mereka yang pakai LRT laluan ni!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.