60 peratus bekalan air Sabah adalah NRW: Shahelmey

9 Apr 2023 • 11:49 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Masalah bekalan air di negeri ini dijangka akan kembali pulih apabila air tidak terhasil (NRW) dikurangkan daripada 60 peratus ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedang giat melakukan melakukan penambahbaikan untuk mengurangkan NRW.

Menteri Kerja Raya Sabah itu berkata, sekiranya langkah mengurangkan NRW itu boleh dijayakan menjelang hujung tahun ini maka, beliau yakin bekalan air yang mencukupi akan dapat dinikmati oleh pengguna.

Katanya, selain berhadapan permintaan air yang tinggi berbanding bekalan yang sedia ada, cabaran lain yang dihadapi JANS adalah menangani kes-kes kecurian air yang menyumbang kepada NRW di negeri ini kekal tinggi.

“Memang kita sedang memantau dan melakukan penguatkuasaan terhadap kes-kes kecurian air tetapi seperti saya sebutkan, kita mengalami cabaran dari segi tenaga kerja dan juga keberkesanan operasi (penguatkuasaan) tersebut.

“Perlu diketahui Jabatan Air sedang menghadapi kekangan jumlah tenaga kerja. Malah, kerajaan telah bersetuju untuk menambah atau mengambil pekerja baharu namun, ini akan mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Iftar Ramadan bersama Rumah Anak Yatim (RAY) As-Sakinah, rakan-rakan media dan OCN24, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.

Shahelmey berkata, satu mekanisme atau gerakan bersepadu akan diambil agar peratusan NRW dan masalah kecurian air dapat diatasi.

Melalui mekanisme atau sistem itu nanti, JANS akan dapat mengesan kawasan-kawasan yang mempunyai tekanan air yang rendah bagi membolehkan pegawainya dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk memulihkan tekanan air.

“Tetapi, bagi kes kecurian air pula, ia sedikit berbeza. Apa yang kita perlukan adalah penguatkuasaan dan mungkin satu mekanisme seperti lakukan (pemasangan) pam meter atau sebagainya, ini sedang difikirkan oleh satu jawatankuasa.

Pada masa sama, Shahelmey memberi jaminan bahawa bekalan air menjelang Hari Raya Aidilfitri akan sentiasa dipantau.

“Sebagaimana yang kita semua ketahui bahawa kita memang mengalami masalah bekalan air di negeri ini.

“Bagaimanapun saya telah berpesan kepada JANS untuk memastikan bahawa catuan bekalan air dapat dilakukan dengan baik.

“Sekiranya ada kawasan-kawasan yang mengalami tekanan air rendah, pengguna boleh memaklumkan kepada jabatan air melalui talian Careline untuk tindakan sewajarnya, sama ada kita hantar lori air atau sebagainya,” katanya.

Dalam majlis itu, Shahelmey turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada semua tetamu yang hadir pada majlis tersebut.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.