
GUA MUSANG – Kira-kira 600 penduduk Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir terkandas selepas Jambatan Linggi yang menjadi laluan utama mereka ditenggelami air ekoran banjir luar jangka, kelmarin.
Hujan berterusan pada Sabtu lalu menyebabkan sungai melimpah sehingga jambatan yang menjadi penghubung ke perkampungan Orang Asli kaum Mendriq dan Bateq itu ditenggelami air.
Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, air mula naik kira-kira pukul 11 pagi semalam dan sehingga kini masih belum surut.
“Keadaan itu menyebabkan kami tidak dapat keluar dari penempatan ini. Jika ada kecemasan atau keperluan mendesak kami perlu menggunakan perahu untuk ke seberang,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Norhayati Ahmad Yassin, 44, berkata, dia tidak dapat keluar dari perkampungan itu sejak semalam selepas air mula melimpahi jambatan.
Dalam perkembangan berkaitan, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga pukul 8.30 pagi tadi merekodkan 81 mangsa daripada 22 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1. – KOSMO! ONLINE
The post 600 penduduk Orang Asli terkandas, Jambatan Linggi ditenggelami air appeared first on Kosmo Online.






