
RANAU: Pendaki Croatia Mauro Persic – yang diselamatkan selepas terkandas selama lapan hari di kawasan muka bumi lasak Gunung Kinabalu – mengakui pengalaman itu mungkin tidak berbaloi kerana kira-kira 40 orang terpaksa mempertaruhkan nyawa semata-mata untuk menyelamatkannya.
“Ini mungkin pengalaman paling hampir dengan kematian yang pernah saya lalui. Adakah ia berbaloi? Saya tidak tahu. Mungkin tidak,” katanya selepas dibawa turun dengan selamat. Dia menyifatkan tindakannya seperti “bermain Russian Roulette” dengan gunung berkenaan.
Persic berkata perjalanan solonya bermula di sepanjang Sungai Mesilau sebelum memasuki kawasan yang semakin curam dan sukar menuju ke Rabung Timur gunung berkenaan.
Pada hari-hari berikutnya, dia terpaksa menempuh tumbuh-tumbuhan tebal, cenuram, lurah, jarak penglihatan yang terhad serta dehidrasi ketika cuba mencari jalan merentasi kawasan terpencil itu.
Keadaan menjadi kritikal pada hari kelima apabila dia tergelincir di permukaan batu yang curam dan terjatuh kira-kira 10 meter (30 kaki) ke dalam sebuah lurah.
Dia mengalami bengkak teruk dan pendarahan pada tumit kanan, luka dalam pada betis kanan, sakit pada pinggul dan tulang rusuk, kecederaan pada bahu, luka di kepala serta pelbagai luka dan lebam.
Persic berkata pada mulanya dia berharap dapat meneruskan perjalanan tanpa mendapatkan bantuan namun menyedari bahawa dia tidak lagi mampu bergerak sendiri.
Selepas berjaya mendapatkan isyarat telefon yang lemah, dia menghubungi perkhidmatan kecemasan dan memberikan koordinat lokasinya.
Sementara menunggu penyelamat, dia terus terkandas di dalam lurah itu tanpa makanan dan hanya bergantung kepada titisan air untuk terus hidup.
Pada hari ketujuh, hujan lebat menyebabkan air tiba-tiba melimpah deras melalui lurah berkenaan dan menghanyutkan beg tidurnya.
Persic berkata dia terpaksa berpaut pada anduh yang dipasang pada satu bongkah kecil yang menonjol dari batu selama kira-kira dua jam bagi mengelak dihanyutkan arus.
Persic berkata dia mengalami halusinasi pada malam itu selepas terdedah kepada keadaan tersebut untuk tempoh yang lama, selain kelaparan dan keletihan.
Seorang penyelamat, Luis Jai Matuas, akhirnya berjaya sampai kepadanya pada keesokan pagi dan memberinya minuman panas serta biskut.
Penyelamat kemudian menggunakan tali dan pengusung untuk mengeluarkannya dari kawasan sukar itu sebelum membawanya ke arah laluan pendakian biasa.
Operasi diteruskan sehingga keesokan harinya sebelum Persic akhirnya dibawa turun melalui Pintu Timpohon dan dihantar untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Persic memuji anggota penyelamat atas kecekapan organisasi dan kemahiran teknikal mereka, malah menyifatkan mereka yang menyelamatkannya sebagai “saudara daripada ibu yang berbeza”.
Dia u turut mengakui kesan lebih luas daripada tindakannya itu. “Badan hancur. Seramai 40 orang terpaksa mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan seorang manusia,” katanya.
Walaupun melalui pengalaman getir itu, Persic berkata kejadian berkenaan turut membolehkannya menyaksikan “sisi terbaik kemanusiaan” menerusi kemurahan hati, kebaikan dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh mereka yang terlibat dalam operasi menyelamatnya.






