
HULU SELANGOR, 9 OGOS: Seramai 62 Batin atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) di Selangor disasar menerima sumbangan komputer riba bagi memperkukuh pentadbiran kampung.
EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata inisiatif itu bertujuan membantu kepimpinan masyarakat Orang Asli mengurus maklumat kampung secara lebih sistematik dan berkesan.
Menurutnya, kemudahan berkenaan juga dapat memudahkan urusan pengurusan selain membantu mengenal pasti keperluan kampung serta menyelaras program pembangunan untuk masyarakat Orang Asli.
“Dalam masa terdekat saya juga berhasrat membekalkan komputer riba kepada semua Batin dan Pengerusi JPKKOA bagi memudahkan pengurusan, mengenal pasti keperluan kampung dan menyelaras program yang diperlukan oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Festival Kebudayaan Orang Asli Selangor 2026 di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.
Menurutnya, penggunaan teknologi dalam pentadbiran kampung penting bagi memastikan penyampaian maklumat dan pelaksanaan program kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga sedang mengusahakan pembinaan sebuah jeti untuk nelayan Orang Asli di Pulau Carey, Kuala Langat bagi meningkatkan kemudahan ekonomi komuniti pesisir pantai di kawasan berkenaan.
Menurutnya, cadangan itu sedang dibincangkan bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi memastikan kemudahan tersebut dapat direalisasikan.
“Saya telah berjumpa dengan pihak PKNS dan mereka pada dasarnya bersetuju. Kita akan mengadakan perbincangan lanjut supaya pembinaan jeti ini dapat membantu nelayan Orang Asli di Pulau Carey,” katanya.
Beliau turut menggalakkan masyarakat Orang Asli memanfaatkan pelbagai program pembangunan ekonomi yang disediakan Kerajaan Negeri termasuk bantuan peralatan perniagaan, latihan keusahawanan dan kursus peningkatan kemahiran.
“Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan kemajuan Orang Asli. Tidak mengganggu sebarang cara kehidupan mereka malah membantu meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.






